Zii Jia tangguh sertai Terbuka Jepun

Zii Jia tangguh sertai Terbuka Jepun

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia memilih pendekatan lebih berhati-hati apabila menangguhkan kemunculan semula ke Terbuka Jepun Julai ini, selepas belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali kanan.

Zii Jia, 27, yang kini berada di ranking ke-10 dunia, mengakui tempoh pemulihan diharapkan tidak berjalan secepat dijangka dan enggan mengulangi kesilapan lalu apabila kembali terlalu awal ke gelanggang.

“Melihat pada keadaan sekarang, saya rasa Terbuka Amerika Syarikat (AS) agak terlalu awal, jadi saya ambil keputusan untuk menangguh dan menyasarkan beraksi semula di Terbuka Jepun dan China nanti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024, hari ini.

Anak jati Kedah itu sebelum ini dijangka membuat kemunculan semula di Terbuka AS bulan depan, namun memilih untuk memberi fokus sepenuhnya kepada proses pemulihan susulan kecederaan yang dialami sejak Jelajah Dunia Akhir BWF, Disember lalu.

Hasratnya untuk kembali lebih awal di Seluruh England Mac lalu bagaimanapun membawa padah apabila kecederaan itu kembali menghantuinya, memaksanya kembali berehat panjang.

“Kali ini saya lebih berhati-hati. Saya belajar dari kesilapan lepas, terutama di Seluruh England. Kecederaan ini bukan serius, tapi cukup untuk membuatkan saya fikir panjang.

“Saya tak mahu ulang silap yang sama dan menggadai karier saya untuk jangka panjang,” katanya.

Zii Jia kini dalam tempoh rehat tiga bulan dan menikmati perlindungan ranking yang diberikan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi membolehkan kedudukannya dalam ranking tidak terjejas ketika tidak beraksi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top