am@hmetro.com.my
Moscow: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan menerima kawalan kehormat rasmi sejurus tiba di Moscow, malam ini.
Kawalan kehormat itu adalah satu penghormatan yang pertama diberikan kepada seorang perdana menteri Malaysia dalam tempoh hampir 20 tahun.
Duta Malaysia ke Russia, Datuk Cheong Loon Lai, berkata penghormatan itu melambangkan detik penting dalam hubungan dua hala Malaysia-Russia, dengan penghormatan sama terakhir diberikan kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Jun 2007.
Abdullah melakukan lawatan rasminya sebagai perdana menteri kelima ke Moscow ketika itu, juga di bawah kepimpinan Presiden Vladimir Putin.
“Kawalan kehormat malam ini mencerminkan kepentingan lawatan ini bagi Russia danjuga nilai strategik yang diletakkan terhadap hubungan dengan Malaysia,” katanya pada sidang media menjelang ketibaan Anwar hari ini.
Perdana menteri dijadual tiba di terminal kerajaan Lapangan Terbang Antarabangsa Vnukovo, pada jam 6 petang waktu tempatan, dengan penerbangan dari Pangkalan Udara Subang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Cheong berkata, kehadiran Anwar selama empat hari kali ini dikategorikan sebagai lawatan rasmi, berbeza dengan lawatan kerja beliau ke Vladivostok pada September 2024 sempena Forum Ekonomi Timur, yang mana beliau turut bertemu Putin.
Katanya, lawatan kerja biasanya membabitkan pembabitan khusus seperti menghadiri persidangan atau mesyuarat dua hala dan tidak semestinya disertakan dengan protokol rasmi penuh.
“Lawatan rasmi pula membabitkan elemen negara yang formal seperti kawalan kehormat dan mencerminkan skop hubungan dua hala yang lebih menyeluruh serta mendalam,” katanya.
Menurutnya, lawatan Anwar pada September lalu mencetuskan momentum baharu dalam hubungan Malaysia-Russia, yang membawa kepada penyertaan negara sebagai negara rakan kepada kumpulan BRICS baru-baru ini.
“Hubungan dua hala memang wujud selama ini, tetapi sejak lawatan perdana menteri pada September lalu, kita lihat peningkatan minat dan kehendak politik yang ketara dari kedua-dua pihak untuk memperkukuh kerjasama,” katanya.
Ketika ditanya sama ada lawatan ini akan menimbulkan kebimbangan di pihak Barat, khususnya Amerika Syarikat (AS), memandangkan ketegangan perdagangan dan persaingan geopolitik, Cheong menegaskan pendirian Malaysia adalah konsisten.
“Malaysia berkecuali dan sejak awal lagi kita sudah menjelaskan bahawa kita tidak akan terjebak dalam persaingan kuasa besar.
“Hubungan kita dengan Russia, seperti juga dengan mana-mana negara lain, adalah berasaskan kepentingan nasional dan usaha memacu kemakmuran ekonomi,” katanya.
Antara pengisian jadual Anwar di Russia termasuk pertemuan dengan Presiden Putin dan Perdana Menteri Mikhail Mishustin serta sesi meja bulat bersama pemimpin industri negara berkenaan.
Perdana menteri turut dijadual menyampaikan syarahan umum di Institut Hubungan Antarabangsa Negeri Moscow (MGIMO) dan ucaptama di Forum Ekonomi Antarabangsa ke-16 “Russia–Islamic World: KazanForum 2025.”
Cheong berkata lawatan berkenaan mencerminkan dasar luar Malaysia yang lebih meluas dalam memperkukuh hubungan rentas rantau dan menggalakkan kerjasama pelbagai hala dengan kuasa yang mapan dan sedang membangun.
Turut mengiringi perdana menteri dalam lawatan itu ialah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Delegasi turut disertai Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, serta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
© New Straits Times Press (M) Bhd




