Bakal Tunai Ibadah Haji Bersama Suami, Bella Dally Luah Rasa Syukur

Bakal Tunai Ibadah Haji Bersama Suami, Bella Dally Luah Rasa Syukur

Pelakon jelita, Bella Dally berkongsi khabar gembira memaklumkan dirinya bakal berangkat ke Tanah Suci Makkah bersama suami tercinta bagi menunaikan ibadah haji tahun ini.

Menerusi muat naik di Instagram Story (IGs) miliknya, Bella atau nama lengkapnya, Nabilah Ali Dally, 34, mengadakan majlis kenduri doa selamat dihadiri oleh ahli keluarga dan sahabat terdekat.

Dalam muat naik tersebut, Bella mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sudi hadir, selain mendoakan terbaik untuk perjalanannya menunaikan ibadah haji.

“Terima kasih kepada semua yang hadir ke majlis doa selamat kami sebelum berangkat menunaikan haji.

“Kami sangat tersentuh dengan doa yang baik dan pemberian ikhlas daripada anda semua. Hati kami dipenuhi rasa syukur dan kebahagiaan,” katanya.

Dalam pada itu, Bella turut memohon ampun dan maaf daripada semua atas sebarang kekhilafan yang pernah dilakukan, sama ada secara sengaja atau tidak.

“Menjelang detik keberangkatan kami, saya dan suami dengan rendah hati ingin memohon kemaafan sekiranya ada salah dan silap yang pernah kami lakukan, sama ada disedari ataupun tidak. Doakan agar urusan kami dipermudahkan dan ibadah ini diterima oleh-Nya,” katanya lagi.

Scroll to Top