Fenomena Konsert GenKRU 2025 mencipta sejarah tersendiri apabila dua pengiktirafan rasmi daripada Malaysia Book of Records (MBR) berjaya dirangkul, bukan sahaja buat kumpulan legenda KRU, malah juga penganjur acara, Icon Entertainment.
Kumpulan trio adik-beradik popular negara, KRU yang dianggotai oleh Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim telah dianugerahkan gelaran ‘Most Shows in a Single Concert Series’ selepas berjaya mementaskan konsert empat malam berturut-turut di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3, 4, 10 dan 11 Mei 2025.

“Ini bukan kejayaan peribadi KRU, tetapi satu apresiasi buat peminat yang menjadikan konsert ini berkembang daripada satu malam kepada empat. Tanpa sokongan mereka sejak lebih tiga dekad lalu, pengiktirafan ini tidak mungkin berlaku,” kata Norman, mewakili KRU.
Sementara itu, Icon Entertainment (M) Sdn. Bhd., selaku penganjur konsert, turut menerima pengiktirafan “Most Concert Tickets Sold Out in an Hour” selepas mencatat jualan sebanyak 8,000 tiket habis terjual dalam masa hanya satu jam selepas pembukaan awal jualan.

“Pengiktirafan ini kami dedikasikan buat semua peminat KRU yang telah membuktikan bahawa produk hiburan tempatan masih mempunyai kekuatan luar biasa.
“Sokongan padu ini memberi semangat kepada kami untuk terus memperjuangkan dan memartabatkan konsert tempatan di peringkat lebih tinggi. Kami juga menghargai sokongan berterusan Kerajaan Malaysia, khususnya Kementerian Komunikasi dalam memajukan seni dan industri kreatif negara,” ujar Iman Tang selaku Pengasas Icon Entertainment.

Konsert empat malam itu menyaksikan kehadiran lebih 30,000 peminat dari seluruh negara dan turut menampilkan penampilan istimewa barisan artis popular era 90-an seperti Feminin, Elite dan Adam, menambahkan lagi elemen nostalgia kepada acara bersejarah ini.
Dengan dua rekod Malaysia tercipta serentak, Konsert GenKRU 2025 bukan sahaja menandakan kemunculan semula KRU dalam skala besar, malah menjadi simbol kekuatan dan daya tarikan muzik tempatan yang masih mendapat tempat di hati peminat.



