RPM Group Dilancar, Rockology Concert 2025 Satukan Awie & Kid Din Hangatkan Pentas

RPM Group Dilancar, Rockology Concert 2025 Satukan Awie & Kid Din Hangatkan Pentas

Dunia hiburan tempatan terus meriah dengan pelancaran rasmi RPM Group of Companies, sebuah entiti baharu yang menghimpunkan tiga cabang utama industri kreatif: produksi kandungan, pengurusan acara dan label rakaman.

RPM Group menaungi Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd., RPM Events Sdn. Bhd., dan RPM Label Sdn. Bhd, masing-masing berperanan memperkasa kandungan hiburan, menjayakan acara berskala besar dan mencungkil serta membangunkan bakat muzik baharu.

Menurut Pengarah RPM Group, Datuk Eddy Amir Salim, pelancaran ini bukan hanya satu permulaan baharu, tetapi juga simbol komitmen untuk memperkukuh landskap hiburan tanah air secara lebih profesional dan strategik.

“Kami percaya kombinasi tiga cabang industri ini di bawah satu bumbung akan melahirkan produk hiburan yang bukan sahaja berkualiti tetapi juga memberi nilai budaya dan komersial kepada negara,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran.

Dengan gabungan Rumah Produksi Merah (produksi kandungan), RPM Events (pengurusan acara) dan RPM Label (label rakaman), Eddy berkata RPM Group sedia menjadi pemangkin perubahan dalam industri hiburan.

“Rockology Concert Tour hanyalah permulaan. Kami buka pintu kepada mana-mana rakan strategik untuk bersama-sama menjadikan hiburan tempatan lebih mampan dan dihormati,” ujarnya lagi.

Antara pengumuman terbesar sempena pelancaran RPM Group adalah penganjuran Rockology Concert Tour 2025, yang bakal menghimpunkan dua nama besar muzik rock tanah air, Datuk Awie dan Search (Kid Din) dalam satu pentas bersejarah.

Konsert jelajah yang dijangka menjadi tumpuan peminat muzik ini akan berlangsung di dua lokasi utama iaitu di Midtown Perda, Pulau Pinang pada 21 Jun 2025 (North Chapter) dan EduCity Sports Complex, Johor pada 5 Julai 2025 (South Chapter).

Penganjur menjangkakan lebih 15,000 peminat rock akan membanjiri dua lokasi ini termasuk dari Singapura.

“Saya terima pelawaan untuk Rockology kerana semangatnya jelas, bukan sekadar persembahan, tetapi satu misi untuk menghidupkan semula jiwa rock Malaysia,” kata Awie, yang bakal bergabung tenaga dengan Kid Din buat julung kalinya.

Bagi memastikan acara ini dapat diakses oleh semua golongan, tiket Rockology Concert – North Chapter kini boleh didapati dengan harga serendah RM98 di laman rasmi iaitu https://rpm.ubertickets.asia.

Manakala jualan tiket untuk South Chapter di Johor akan diumumkan tidak lama lagi.

Scroll to Top