Sebanyak 170,000 tan air terawat Fukushima dilepaskan dalam tempoh tiga tahun

Tokyo: Tokyo Electric Power Company Holdings Inc. (TEPCO) pada Isnin melengkapkan tahun ketiga pelepasan air radioaktif terawat dari loji nuklear Fukushima yang rosak ke laut, dengan sebanyak 172,700 tan dilepaskan dalam 22 pusingan setakat ini, lapor Kyodo News.

Jumlah air yang disimpan dalam tangki berkurangan 7.6 peratus kepada kira-kira 1.24 juta tan, dengan 17 daripada kira-kira 1,000 tangki simpanan dileraikan selepas dikosongkan.

Pengendali loji itu menyasarkan untuk menyelesaikan pelepasan berkenaan menjelang 2051, selaras dengan proses penyahtauliahan loji.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memantau proses itu bersama Kerajaan Jepun dan TEPCO serta tiada paras tritium luar biasa dikesan di perairan berhampiran atau makanan laut.

Jepun memutuskan pada April 2021 untuk melepaskan air terawat itu bagi membolehkan tangki simpanan dileraikan dan menyediakan ruang untuk kemudahan mengeluarkan sisa bahan api yang cair. TEPCO memulakan pelepasan pada 24 Ogos 2023, meskipun mendapat bantahan daripada pengusaha industri perikanan.

Susulan krisis nuklear pada 2011 yang dicetuskan gempa bumi dan tsunami besar, kira-kira 60 tan air sisa radioaktif dihasilkan setiap hari di loji itu selepas menyejukkan bahan api reaktor yang cair.

Selepas melalui proses penulenan menggunakan sistem pemprosesan cecair termaju, air terawat itu dicairkan dengan air laut sehingga kurang daripada satu per-40 kepekatan yang dibenarkan di bawah piawaian keselamatan Jepun sebelum dilepaskan dari lokasi kira-kira satu kilometer dari pantai.

Air terawat itu dipindahkan dari tangki simpanan ke tangki yang digunakan untuk mengukur dan mengesahkan kepekatannya, sebelum dilepaskan secara berperingkat sebanyak kira-kira 7,800 tan bagi setiap pusingan.

Empat pelepasan dilaksanakan pada tahun fiskal 2023 manakala masing-masing tujuh pelepasan dilakukan pada tahun fiskal 2024 dan 2025. Selepas mengubah operasi bagi membolehkan pemindahan tanpa henti antara tangki untuk pelepasan, TEPCO merancang melaksanakan lapan pelepasan pada tahun fiskal 2026, dengan empat daripadanya sudah selesai.

China, yang sebelum ini destinasi eksport terbesar makanan laut Jepun, mengenakan larangan menyeluruh terhadap import pada hari pelepasan bermula.

Walaupun Kerajaan China pada Jun tahun lepas berkata larangan itu akan ditarik balik kecuali terhadap 10 wilayah termasuk Fukushima, import secara berkesan masih dihentikan susulan pertikaian diplomatik berterusan berhubung kenyataan Perdana Menteri Sanae Takaichi pada November tahun lepas yang membayangkan Jepun boleh terbabit sekiranya krisis tercetus berkaitan Taiwan.

Sekatan import juga masih berkuat kuasa di Rusia serta beberapa negara dan wilayah lain.

TEPCO membayar pampasan kepada perniagaan bagi kerugian operasi akibat pelepasan itu, dengan kira-kira 1,100 tuntutan berjumlah sekitar 92.8 bilion yen (AS$585 juta) setakat 5 Ogos.

Menurut syarikat itu, banyak tuntutan membabitkan kerugian akibat ketidakupayaan mengeksport kekapis dan timun laut ke China serta Hong Kong.

“Kami berjaya melaksanakan pelepasan dengan selamat. Kami akan terus berusaha menyediakan maklumat yang tepat dan pampasan sewajarnya,” kata Ketua Pegawai Penyahtauliahan TEPCO Akira Ono, pada sidang media bulan lepas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top