PPM rampas 61 tan isirung sawit, jentolak bernilai lebih RM2 juta

PPM rampas 61 tan isirung sawit, jentolak bernilai lebih RM2 juta

am@hmetro.com.my

Lahad Datu: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 61 tan isirung sawit (kernel) tanpa permit dalam satu serbuan di sebuah premis tidak bernombor di Jalan POIC, di sini, awal pagi, semalam.

Dalam serbuan kira-kira 3.10 pagi itu, dua lelaki berusia 39 dan 48 tahun yang ditemukan di kawasan berkenaan turut ditahan.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, serbuan dilakukan pasukan Task Force bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Lahad Datu.

“Hasil pemeriksaan lanjut pasukan operasi menemukan longgokan isirung sawit, sebuah bunker berisi isirung, serta satu unit timbangan lengkap di kawasan berkenaan.

“Pegawai MPOB menganggarkan jumlah keseluruhan isirung sawit yang dirampas sebanyak 61 tan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit daripada MPOB untuk pemindahan dan penyimpanan bahan komoditi berkenaan.

“Semua suspek dan barang rampasan termasuk isirung sawit, dua buah lori dan dua jentolak yang dianggarkan bernilai RM2,001,500 dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 5(1)(d) Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (PPLMSM) 2005,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top