Kanada rayu penyokong terus beri sokongan di Los Angeles

Kanada rayu penyokong terus beri sokongan di Los Angeles

Vancouver: Kanada merayu penyokong setia mereka untuk terus memberikan sokongan di Amerika Syarikat selepas terlepas peluang beraksi di laman sendiri pada pusingan kalah mati Piala Dunia.

Skuad The Canucks membuat rayuan itu menerusi satu surat terbuka yang dimuat naik di media sosial sehari selepas kekalahan 1-2 kepada Switzerland di Vancouver yang memusnahkan harapan mereka untuk mengharungi satu lagi perlawanan di bumi Kanada.

“Kami minta maaf kerana terpaksa meninggalkan anda. Tetapi anda tidak perlu meninggalkan kami,” tulis pasukan itu dalam mesej yang ditujukan kepada penyokong.

Kekalahan kepada Switzerland menyaksikan Kanada gagal menjuarai Kumpulan B dan terpaksa beraksi di Los Angeles menentang Afrika Selatan dalam pusingan 32 terbaik Ahad ini.

Rayuan itu hadir pada waktu yang agak sensitif apabila hubungan antara Kanada dan Amerika Syarikat dilaporkan tegang sejak beberapa bulan lalu.

Keadaan itu menyebabkan sebahagian rakyat Kanada memilih untuk memboikot produk Amerika Syarikat dan membatalkan perjalanan ke negara jiran mereka.

Namun, Kanada berharap kemeriahan dan semangat Piala Dunia mampu mengatasi segala perbezaan politik, sekurang-kurangnya untuk hujung minggu ini.

Sebenarnya, Kanada hanya memerlukan keputusan seri ketika menentang Switzerland untuk muncul juara kumpulan dan mengekalkan kempen mereka di laman sendiri sekurang-kurangnya satu lagi perlawanan.

Kini, mereka cuba meyakinkan penyokong supaya terus bersama pasukan dalam usaha memburu kejayaan lebih besar di pentas dunia.

Dalam surat yang ditujukan kepada seluruh rakyat Kanada, pasukan itu mengimbau suasana luar biasa yang dicipta penyokong sepanjang tiga perlawanan pertama mereka di Piala Dunia.

Ribuan penyokong membanjiri jalan raya menuju ke stadium di Toronto ketika Kanada seri 1-1 dengan Bosnia Herzegovina dalam aksi pembukaan, sebelum suasana sama diteruskan di Vancouver apabila mereka membelasah Qatar 6-0.

“Kepercayaan anda telah membantu kami melalui detik-detik terbesar dalam sejarah kami.

“Terima kasih kepada semua penyokong yang sentiasa bersama kami dalam setiap kegagalan, setiap kemenangan dan setiap langkah yang membawa kami ke tahap ini,” menurut kenyataan itu.

Kanada turut mengalu-alukan kehadiran penyokong baharu yang mula jatuh cinta dengan pasukan itu sepanjang kejohanan.

“Kepada penyokong baharu, selamat datang dan kami amat gembira anda bersama kami.

“Ketika kami menuju ke Los Angeles, kami menjemput seluruh rakyat Kanada untuk terus bersama kami dalam setiap langkah perjalanan ini.

“Perjalanan ini masih belum berakhir. Malah, dalam banyak aspek, ia sebenarnya baru sahaja bermula,” kata pasukan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top