Aktiviti pindah pasir silika haram tumpas, rampasan cecah RM1.8 juta

Aktiviti pindah pasir silika haram tumpas, rampasan cecah RM1.8 juta

am@hmetro.com.my

Marang: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara melalui Op Bersepadu Khazanah berjaya merampas dua jengkaut dan satu treler bernilai kira-kira RM1.8 juta, dipercayai digunakan dalam aktiviti pemindahan pasir silika secara haram.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata bertindak atas maklumat kira-kira jam 1 pagi tadi, anggota risik Ibu Pejabat Briged Tenggara, PGA Kuantan Pahang, membuat pemerhatian di kawasan Kampung Jambu Bongkok, dekat sini.

Menurutnya, ketika tinjauan, pihaknya terlihat dua lelaki berada di kawasan terbabit dan terdapat aktiviti pemindahan pasir yang disyaki pasir silika dengan menggunakan jengkaut ke dalam sebuah treler.

Katanya, pihaknya kemudian membuat serbuan sebelum meminta dokumen pengenalan diri daripada kedua-dua lelaki itu.

“Pasukan serbuan kemudian meminta pemandu jengkaut yang berusia 33 tahun untuk kemukakan sebarang dokumen atau lesen pemindahan pasir yang dilakukan, namun lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen atau lesen yang sah.

“Pemeriksaan di kawasan terbabit menemui peralatan untuk mengambil bahan mineral iaitu pasir silika,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kemudian menahan pemandu jengkaut dan pemandu treler berusia 37 tahun kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pemindahan pasir secara haram.

Menurutnya, kesemua barang kes diserahkan kepada Pejabat Tanah Marang untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Katanya, hasil serbuan pihaknya merampas dua jengkaut dan satu treler yang dianggarkan bernilai RM1.8 juta.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top