am@hmetro.com.my
Muar: Dua beranak serta bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat antara 16 calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang diumumkan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini.
Rasman Ithnain, 59, dan anaknya Mohamad Alias Rasman, 35, masing-masing dicalonkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili dan Panti.
Bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon pula dicalonkan di DUN Senggarang dan bakal berdepan dengan calon PKR, Onn Abu Bakar sekali gus mengulangi pertembungan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Parlimen Batu Pahat.
Turut membuat kejutan ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang baru sahaja mengumumkan keluar parti, Abdul Mutalip Abd Rahim yang bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) bagi mempertahan DUN Layang-Layang.
Sementara itu, bekas Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal pula diberi tugas mempertahankan kerusi DUN Bukit Kepong yang dimenanginya pada PRN lalu.
Antara calon lain disenaraikan ialah Fairulnizar Rahmat di DUN Penawar; Aisah Esa (Johor Lama); Lim Chin Eng (Stulang); Muhamad Amerul Muhamad (Tenggaroh); Sye Mohamad Syed Alwi (Rengit).
Selain itu, Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee (Parit Raja); Muhammad Syafiq Aziz (Semarang); Mohd Radzi Amin (Bukit Naning); Mahfidz Omar (Serom); Uzzair Ismail (Kemelah) dan Mohd Idzharruddin Mohd Nasirruddin (Bukit Pasir).
Kesemua nama calon BERSATU diumumkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam program Ceramah Umum dan Majlis Pengumuman Calon di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pagoh malam ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, BERSATU menyenaraikan calon boleh menang pada PRN kali ini.
“Kita ada ramai calon dan kita buat pelbagai tapisan termasuk dengan Jabatan Insolvesni, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum menyenaraikan nama-nama mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




