Los Angeles : Bintang realiti dan usahawan terkenal, Kim Kardashian, 45, yakin akan menjadi mangsa rogol dan dibunuh dalam insiden rompakan bersenjata yang berlaku di sebuah hotel mewah di Paris pada 2016.
Menurut The Guardian, dalam keterangan penuh emosi, Kim memberitahu dia dalam keadaan separuh bogel apabila dua lelaki bersenjata berpakaian polis menceroboh masuk ke bilik hotelnya pada lewat malam.
“Pakaian saya terselak, seluruh tubuh saya terdedah. Ketika itu, saya benar-benar yakin dia akan merogol saya. Dalam ketakutan itu, saya hanya mampu berdoa,” katanya.
Tambahnya, salah seorang daripada lelaki itu menariknya dari katil sebelum mengikat tangan dan kakinya menggunakan tali zip serta pita pelekat.
Mulutnya turut ditampal sebelum dia dibawa ke bilik air dan ditinggalkan di atas lantai dalam keadaan tidak berdaya.
Kejadian itu berlaku ketika Kardashian berada di Paris untuk Minggu Fesyen dan sedang bersiap untuk pulang ke New York pada keesokan harinya.
Menurut personaliti media sosial ini, dia menyangka bunyi langkah di tangga itu adalah adiknya, tetapi dua lelaki bersenjata bersama penjaga pintu yang diambil sebagai tebusan tiba-tiba memasuki biliknya.
Pada masa sama, dia juga dipaksa menyerahkan barangan kemas termasuk cincin berlian 18.88 karat bernilai AS$4 juta (RM17.1 juta) namun, suspek masih tidak berpuas hati dan terus menggeledah bilik lain sebelum menyeretnya ke bilik air.
Kim berkata, dia berfikir untuk melarikan diri tetapi memilih untuk mengikut arahan.
“Saya fikir, ‘Perlukah saya lari?’ Tetapi saya tahu mereka akan tembak saya. Saya hanya patuh. Saya minta penjaga pintu beritahu mereka yang saya ada anak dan saya harus pulang kepada mereka,” katanya.
Selepas kejadian itu, Kim berjaya meleraikan ikatan dan melarikan diri ke tingkat bawah mencari penata gayanya, Simone Harouche, yang turut berada di apartmen dua tingkat itu.
Seramai 10 individu iaitu sembilan lelaki dan seorang wanita berusia antara 35 hingga 78 tahun kini dibicarakan atas jenayah rompakan bersenjata terbesar di Perancis dalam tempoh dua dekad.
Kumpulan penjenayah itu, digelar ‘Geng Datuk’ melarikan barangan kemas dianggarkan bernilai AS$10 juta (RM43 juta).
Hakim turut membacakan sepucuk surat dari salah seorang tertuduh, Aomar Aït Khedache, 68, yang menyatakan kekesalan terhadap trauma yang dialami Kim.
Pengasas KKW Beauty ini berkata, dia memaafkan kesalahan suspek rompakan berkenaan.
“Saya maafkan awak, tetapi ia tidak menghapuskan kesan emosi dan trauma yang saya alami. Hidup saya berubah untuk selama-lamanya,” katanya.
Insiden itu turut mengubah pendekatan Kim terhadap keselamatan diri, yang kini sentiasa diiringi pasukan pengawal peribadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd
