Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Subang tidak akan diadakan susulan peletakan jawatan penyandangnya Wong Chen sebagai Ahli Parlimen kawasan itu.
Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata perkara itu adalah berdasarkan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan, iaitu Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka berkenaan.
“Tiada PRK bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.104 Subang akan dijalankan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata SPR menerima pemakluman daripada Johari melalui surat bertarikh hari ini berhubung status kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Subang selepas diisytiharkan kosong di bawah Perkara 51 Perlembagaan Persekutuan.
Terdahulu, Johari pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini mengesahkan beliau telah menerima notis peletakan jawatan Wong Chen secara rasmi semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd
