Ipoh: Koperal Syed Isfan Syed Mohammad, 32, seorang daripada mangsa nahas ngeri membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, kelmarin dilapor stabil, namun masih demam selepas menjalani pembedahan.
Syed Isfan antara sembilan anggota FRU yang cedera dalam kemalangan tragis itu yang turut meragut nyawa sembilan rakan setugasnya.
Bagi isterinya, Rasidah Suhada Zulkifli, 32, tiada lain yang diharapkan selain berdoa agar suaminya kembali sedar dan pulang ke pangkuan keluarga suatu hari nanti.
“Alhamdulillah, keadaan suami menunjukkan perkembangan positif. Semuanya stabil, cuma sekarang dia masih demam, mungkin disebabkan kesan pembedahan.
“Doktor maklumkan kemungkinan dia akan sedar tidak lama lagi, tetapi buat masa ini mereka biarkan dia berehat sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi.
Rasidah berkata, suaminya mengalami kecederaan dalaman serius, termasuk pundi kencing bocor, jangkitan bakteria, serta patah tulang pinggul dan tulang rusuk.
Syed Isfan yang kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas dipindahkan dari Hospital Teluk Intan pada hari kejadian juga perlu menjalani dua lagi pembedahan dalam masa terdekat.
Mengimbas detik sebelum suaminya keluar bertugas sebelum kejadian, Rasidah berkata, detik perpisahan ketika itu terasa luar biasa.
“Dia peluk dan cium saya serta anak-anak berkali-kali. Lepas itu lambai lama sangat sebelum hilang dari pandangan. Padahal dia keluar bertugas untuk sehari sahaja,” kata Rasidah, ibu kepada tiga anak iaitu Syed Habib Rahman, 7; Sharifah Afeeya, 5; dan Sharifah Aylaa, 2.
Dalam pada itu, Rasidah mengakui berdepan cabaran besar untuk memaklumkan keadaan sebenar menimpa suaminya itu kepada anak-anak.
“Mereka tahu tentang kemalangan itu sebab nampak berita di televisyen. Saya terpaksa beritahu secara perlahan-lahan.
“Saya cuma kata papa cedera sikit sahaja, saya tak sanggup nak ceritakan semua… betapa kritikal keadaannya.
“Saya beritahu mereka doktor sedang jaga papa dan bila dia balik nanti, kita akan sama-sama jaga dia,” katanya sebak.
Berkongsi tentang keadaan keluarga, Rasidah yang menetap di kuarters FRU Unit 5 Sungai Senam berkata, anak-anak kini dijaga adik-beradiknya sementara dia berulang-alik ke hospital.
“Anak-anak sangat mendengar kata, Alhamdulillah. Cuma yang bongsu masih menyusu, jadi kadang-kadang saya bawa dia.
“Yang paling mengejutkan, dia tak menangis sangat walaupun saya tinggalkan dia dengan orang lain. Selalunya dia takut dengan orang tak dikenali.
“Tapi bila nampak kereta datang, dia terus sebut ‘Papa, Papa, Papa’. Dia tak faham sepenuhnya sebab masih kecil, tapi jelas dia rindukan papa dia,” katanya.
Untuk menenangkan anak-anak, Rasidah berkata, dia sering menunjukkan foto bapa mereka suapaya tidak terlalu bersedih.
Kejadian 8.50 pagi Selasa apabila sebuah trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam bertembung dengan sebuah lori sarat dengan batu.
Lapan anggota maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
Trak FRU berkenaan dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena perayaan Chitrapournami sebelum dirempuh oleh lori terbabit.
Berita berkaitan
Sultan Selangor titah tindakan tegas tarik lesen pemandu, syarikat jika didapati bersalah
* Suasana sugul, hiba istiadat penghormatan terakhir
* 8 anggota FRU maut kemalangan di Teluk Intan
* Kemalangan FRU: Angka kematian meningkat sembilan orang – Polis
* Kemalangan FRU: Lori muatan batu dipercayai alami kegagalan stereng – Polis
* PDRM akan pastikan keluarga anggota FRU terbabit kemalangan di Teluk Intan terjaga
* Tragedi kedua babit anggota FRU selepas 35 tahun
* Identiti nama 9 anggota FRU yang terkorban nahas sudah dikenal pasti
* Suasana pilu di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan
* Nahas FRU: PM Anwar mahu siasatan menyeluruh, bantu mangsa dan keluarga
* Saksi dakwa lori muatan batu mahu elak kenderaan sebelum bertembung trak FRU
* ‘Saya sangka abang hanya cedera, rupanya dia sudah tiada’
* Arwah sangat gembira dikurniakan anak perempuan selepas 10 tahun menunggu – Isteri Koperal Amiruddin
* 9 anggota FRU terkorban: Pemandu lori ada pelbagai rekod jenayah lampau termasuk dadah – Polis
* Momen terakhir anggota FRU sebelum kemalangan di Teluk Intan
* Nahas trak FRU: Bedah siasat selesai tengah malam, 6 masih kritikal, seorang dipindah ke HRPB, Ipoh
* Nahas trak FRU: Anak istimewa hilang tempat mengadu kasih
* ‘Akmal Wafi sepatutnya balik kampung hari ini, tak sangka jenazah yang pulang’
* ‘Anak kami sudah meninggal dunia, kini suami pula menyusul’
* ‘Abang sanggup tukar pekerjaan kepada anggota FRU untuk elak perkara negatif’
* PDRM, warganet berdukacita tragedi timpa 9 anggota FRU
© New Straits Times Press (M) Bhd