am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (Media Prima), hari ini, menjalin kerjasama strategik dengan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) bagi memupuk bakat dan mempromosikan pembangunan dalam kalangan kakitangannya.
Menerusi kerjasama itu, Media Prima secara rasmi menerima pengiktirafan Majikan Diiktiraf ACCA, yang menekankan dedikasinya untuk memupuk bakat dan mempromosikan pembangunan profesional dalam pasukan kewangan dan perakaunannya.
Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Media Prima, Rosli Sabarudin berkata, kerjasama dan pengiktirafan daripada ACCA adalah satu pencapaian besar untuk syarikat yang sudah diusahakan sejak 2015.
Katanya, menjadi sebuah syarikat yang bernaung di bawah ACCA menunjukkan bahawa tadbir urus dan kewangan Media Prima adalah selari dengan organisasi bertaraf dunia.
“Sebaik saja mendapat pengiktiraf ACCA, umum mengetahui bahawa Media Prima adalah sebahagian daripada jenama global,” katanya pada Majlis Pengumuman Perkongsian Strategik antara Media Prima dan ACCA di sini, hari ini.
Katanya, kerjasama Media Prima dengan ACCA secara langsung mencerminkan komitmen syarikat untuk melabur dalam kekuatan sebenar operasi kewangan kami iaitu tenaga kerja kami sendiri.
“Dengan menyediakan latihan bertaraf dunia, kelayakan profesional yang diiktiraf global serta laluan pembangunan berterusan, kami bukan sahaja memperkasa kerjaya mereka, malah memperkukuh keupayaan dan keberkesanan strategi kewangan Media Prima,” katanya.
Menurutnya, inisiatif itu juga akan memainkan peranan penting dalam mempertingkat daya tahan kumpulan dan menyokong pertumbuhan mampan dalam landskap industri yang sentiasa berubah.
“Ia juga membuka lebih banyak peluang untuk warga kerja Media Prima mengembangkan kerjaya mereka melalui akses kepada kelayakan bertaraf antarabangsa serta sumber pembangunan profesional berterusan (CPD).
“Dengan menjalin kerjasama bersama ACCA, Media Prima bukan sahaja berhasrat menarik bakat terbaik dalam bidang kewangan, malah terus memperkukuh jenamanya sebagai majikan pilihan di industri,” katanya.
Sementara itu, Peneraju Perhubungan Majikan ACCA Maritim Asia Tenggara, Hishamuddin Jalil berkata, pihaknya berbangga mengalukan Media Prima sebagai Majikan Diiktiraf ACCA.
“Perkongsian ini menggariskan komitmen bersama kami untuk membina keupayaan kewangan sedia ada masa depan dan meningkatkan standard profesional di Malaysia.
“Dengan melabur dalam kakitangannya melalui laluan pembangunan yang diiktiraf di peringkat global, Media Prima juga memperkukuh kerjaya individunya bukan sahaja sebagai strategi kestabilan landskap media yang berkembang,” katanya.
Program Majikan Diiktiraf ACCA mengiktiraf organisasi yang menawarkan sokongan cemerlang untuk pembelajaran dan pembangunan pelajar dan ahli ACCA.
Ia memastikan bahawa pekerja mempunyai akses kepada sumber dan panduan yang diperlukan untuk mencapai kelayakan ACCA mereka dan mengekalkan kecekapan profesional mereka.
Dalam pada itu, komitmen Media Prima terhadap perkongsian itu mencerminkan pendekatan proaktifnya terhadap pengurusan bakat dan dedikasinya untuk melengkapkan tenaga kerjanya dengan kemahiran sedia masa hadapan.
Inisiatif itu diselaraskan dengan strategi kumpulan yang lebih luas untuk memupuk inovasi, kecemerlangan operasi dan penciptaan nilai jangka panjang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




