Tragedi yang meragut sembilan nyawa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terus menghantui pemandu trak, Koperal Mohd Harrisul Ikhsan Mohd Mahabudin, yang masih dalam rawatan selepas kemalangan ngeri itu.
Menurut isterinya, Nor Ain Ahmad Hesam, 36, suaminya yang kini dirawat di Hospital Teluk Intan baru sahaja pulih sepenuhnya daripada keadaan separuh sedar, dan hanya semalam diberitahu mengenai sembilan rakan setugasnya telah terkorban dalam kemalangan tersebut.
“Baru semalam dia diberitahu sembilan rakan dia sudah tiada. Dia terus menangis, rasa bersalah sebab dia yang memandu. Dia kata pada saya, ‘Ini semua salah saya’,” katanya.
Menerusi laporan Harian Metro, isterinya turut menceritakan detik menyentuh hati apabila suaminya menghubungi dua rakannya untuk memohon maaf.
“Dia buat panggilan video dengan Koperal Nizam Tarmizi, minta maaf sungguh-sungguh. Lepas tu jumpa pula Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli, dan ucap perkara yang sama. Hati saya luluh tengok keadaannya,” katanya.
Walaupun suaminya sedang berdepan trauma emosi, Nor Ain bersyukur kerana dia tidak keseorangan. Sokongan daripada rakan-rakan seperjuangan hadir tanpa henti.
“Tak ada seorang pun yang salahkan dia. Semua kawan beri kata-kata semangat, nasihatkan supaya jangan tanggung rasa bersalah seorang diri,” jelas Nor Ain, sambil memberitahu suaminya telah berkhidmat dalam pasukan polis lebih 11 tahun.
Menurutnya lagi, Harrisul mengalami kecederaan di bahagian kepala dan beberapa tulang rusuknya patah, namun keadaannya kini stabil.
“Syukur, dia dah boleh ke tandas sendiri walaupun masih lemah. Tapi dia langsung tak ingat apa-apa pasal kemalangan tu. Bila sedar, dia cuma tahu-tahu dah ada di hospital,” jelasnya.
Bagi Nor Ain, detik pertama menerima berita kemalangan itu akan kekal dalam ingatannya selamanya.
“Saya hampir pengsan. Saya berdoa tanpa henti, harap suami saya masih hidup. Saya hubungi ramai orang, terdesak nak tahu keadaan dia,” ujarnya sebak.
Terdahulu pada Selasa, sebuah trak FRU dari Unit 5 Sungai Senam yang membawa 18 anggota terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa batu sekitar jam 8.50 pagi.
Lapan anggota meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi disahkan meninggal ketika dirawat di Hospital Teluk Intan, sembilan anggota lain mengalami kecederaan.
Difahamkan, trak FRU itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena sambutan perayaan Chitrapournami, sebelum dilanggar lori terbabit.
Sumber: Harian Metro
Kredit foto: Berita Harian




