zatuliffah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Rangkaian Penghapusan Tahanan (EDN) Malaysia menyuarakan komitmen tinggi untuk menyokong usaha terancang dalam membangunkan dasar pengurusan migrasi berasaskan hak asasi manusia sekali gus menangani kempen maklumat palsu, propaganda dan ucapan berunsur hasutan yang berterusan terhadap pelarian Rohingya.
EDN dalam satu kenyataan menegaskan bahawa hak asasi manusia adalah sejagat dan perlindungan pelarian bukanlah satu konsep yang asing mahu pun dari Barat, sebaliknya ia turut dibentuk bersama oleh Malaysia dan jiran ASEAN berasaskan nilai murni kemasyarakatan, keharmonian sosial serta nilai menjaga antara satu sama lain.
Rangkaian itu turut menggesa rakyat Malaysia supaya tidak terpedaya dengan kempen kebencian berselaras oleh segelintir pihak yang menyebarkan maklumat salah yang mana impaknya kini mula menyaksikan komuniti asing termasuk golongan kanak-kanak menjadi sasaran.
Katanya, situasi semasa ini sewajarnya dilihat sebagai satu peluang strategik bagi Malaysia untuk membangunkan sebuah rangka kerja kebangsaan bagi pemohon suaka (National Asylum Framework) yang pragmatik yang mengimbangi kepentingan negara yang sah dengan prinsip hak asasi manusia termasuk tiada penghantaran pulang paksa dan tiada penahanan kanak-kanak.
“Inisiatif berkenaan adalah selaras dengan langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mewujudkan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang mana Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution sebelum ini mengulas bahawa Kerajaan Malaysia tidak dapat mengelak daripada menguruskan isu pelarian yang mesti dikendalikan dengan bijak serta berperikemanusiaan sambil tetap menjaga keselamatan negara, kepentingan rakyat dan kedudukan antarabangsa.
“KDN turut menekankan isu ini tidak boleh dilihat secara berasingan kerana migrasi dan perpindahan tidak teratur dibentuk oleh cabaran keselamatan serta kemanusiaan rentas sempadan yang kompleks selain disokong peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang tanggungjawab menegakkan nilai kemanusiaan tanpa melanggar undang-undang,” katanya.
Sehubungan itu, EDN menyeru KDN meneruskan pelancaran DPP bagi mengiktiraf pelarian dan pemohon suaka sebagai kategori berbeza serta menyediakan akses kepada pekerjaan sah, penjagaan kesihatan dan pendidikan melalui pendekatan inklusif ‘Keseluruhan Masyarakat’.
Bagi memperkukuh DPP, kerajaan digesa menyampaikan maklumat sistem secara proaktif kepada pelarian dan UNHCR, melembagakan penyelarasan formal bersama masyarakat sivil serta melaksanakan strategi komunikasi berkesan dengan orang awam bagi mengurangkan potensi tindak balas dan mengelakkan maklumat salah.
“Pihak berkuasa juga dituntut mengambil tindakan segera menyiasat pihak yang menyebarkan maklumat salah dan ucapan kebencian terutamanya mereka yang mengancam atau menggalakkan keganasan terhadap pelarian Rohingya demi menjaga keselamatan bersama,” kata kenyataan itu.
Selain daripada pelancaran dokumen, EDN berkata, kerajaan diseru segera membangunkan dan melaksanakan program Alternatif kepada Penahanan (ATD) berasaskan komuniti untuk kanak-kanak migran dan pelarian dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) selaras obligasi Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) dan Deklarasi ASEAN.
Katanya, langkah itu termasuk mengecualikan kanak-kanak dan ibu bapa daripada penahanan, menubuhkan jawatankuasa kerja formal KDN dan KPWKM serta melalui DPP, memastikan pemohon tidak ditahan manakala golongan rentan seperti mangsa trauma, orang kurang upaya (OKU), wanita dan warga emas mendapat akses penjagaan yang sesuai tanpa penahanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




