Sinner tidak berpeluh benam Ruud

Sinner tidak berpeluh benam Ruud

Rome: Jannik Sinner melangkah penuh bergaya ke separuh akhir Terbuka Itali selepas membenam Casper Ruud dalam dua set mudah, 6-0, 6-1, awal pagi semalam.

Ruud sepatutnya menjadi ujian paling sukar buat Sinner sejak kembali daripada penggantungan tiga bulan kerana isu doping setelah didapati positif bahan terlarang clostebol dalam ujian tahun lalu. Namun, pemain Norway itu yang berada dalam prestasi terbaik selepas menjuarai Terbuka Madrid, langsung tidak mampu menyaingi kehebatan pemain tuan rumah di Rom.

Pemain berusia 23 tahun itu mempamerkan aksi dominan di hadapan penonton yang memenuhi gelanggang utama sehingga penyokong Itali seolah-olah kasihan dan mula bersorak setiap kali Ruud berjaya memenangi mata.

“Saya rasa sangat bagus di gelanggang hari ini dan rasa semua orang pun nampak,” kata Sinner.

“Apa yang saya tunjukkan hari ini adalah petanda sangat positif. Saya servis dan balas servis dengan baik, dan pergerakan saya mantap. Saya sangat gembira.”

Ruud hanya berjaya mengekalkan servisnya sekali dalam game ketiga di set kedua dan mendapat sorakan paling kuat pada ketika itu.

Dengan nada kecewa, beliau berkata:

“Dia ada di mana-mana dan saya seperti bermain menentang tembok yang menghantar bola 100 batu sejam setiap masa.”

Tommy Paul yang menewaskan Hubert Hurkacz 7-6(4), 6-3 dalam perlawanan pertama sebelum ini, pasti tertanya-tanya bagaimana mahu mengekang Sinner jika bintang Itali itu mengekalkan prestasi sebegini pada separuh akhir, esok.

Sinner mengambil masa hanya 27 minit untuk memenangi set pertama, hanya melepaskan tujuh mata dan mengekalkan rekod tanpa kehilangan sebarang set sepanjang kejohanan ini.

Dengan pakaian serba hitam yang menjadi identitinya minggu ini, dia tidak sekadar mara, malah membelasah lawan dan menghantar isyarat tegas kepada Carlos Alcaraz.

Alcaraz, yang dijangka menjadi pencabar utama Sinner di Roland Garros akan bertemu Lorenzo Musetti dalam satu lagi separuh akhir yang dijangka berlangsung sengit.

Harapan peminat kini menggunung untuk menyaksikan pertembungan epik antara dua bintang muda itu di final.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top