ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas pemain beregu wanita negara, Woon Khe Wei menasihatkan gandingan utama negara, Pearly Tan-M Thinaah supaya kekal bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan tidak tergesa-gesa membuat keputusan untuk menjadi pemain profesional.
Menurut Khe Wei, berada di bawah naungan BAM memberikan kelebihan besar buat pemain dari segi kemudahan, perancangan latihan serta penjagaan kecergasan yang lebih sistematik.
“Dalam BAM semua kemudahan disediakan. Pemain tak perlu risau pasal perancangan kejohanan, tempat tinggal, pengangkutan dan sebagainya. Mereka hanya perlu fokus kepada latihan dan prestasi,” katanya.
Beliau berkata, menjadi pemain profesional memerlukan tahap disiplin yang sangat tinggi kerana segala-galanya perlu diuruskan sendiri tanpa pemantauan jurulatih atau pengurus pasukan.
“Kalau dalam BAM, pemain memang kena ikut jadual latihan. Tapi kalau dah profesional, bila penat, senang je nak ‘ponteng’ latihan. Itu boleh menjejaskan prestasi,” katanya.
Mengulas soal pengurusan kecederaan, Khe Wei menegaskan sokongan pasukan perubatan dalam BAM sangat penting terutama untuk pemain utama negara seperti Pearly yang baru pulih daripada kecederaan buku lali.
“Kalau mereka cedera sebagai pemain bebas, kos rawatan pun kena tanggung sendiri. Kalau ada insurans pun, prosesnya tak semudah dapat rawatan terus daripada pasukan BAM,” jelasnya.
Mengakui tekanan untuk meraih keputusan tetap wujud sama ada di dalam atau luar BAM, Khe Wei berkata tekanan daripada penaja tetap ada sekiranya pemain memilih untuk bergerak sendiri.
“Kalau dalam BAM, tekanan datang daripada pengurusan. Kalau jadi pemain bebas, tekanan datang dari penaja pula. Kalau tak capai prestasi, penaja pun boleh tarik diri. Jadi tekanan tu tetap ada,” katanya.
Khe Wei turut menyatakan rasa terkejutnya apabila pasangan lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin berjaya mencipta kejayaan selepas keluar daripada BAM, namun menegaskan setiap pemain mempunyai jalan yang berbeza.
“Saya rasa untuk Pearly dan Thinaah, lebih baik mereka kekal. Lagi pun bekas jurulatih mereka, Rosman (Razak) kini kembali bersama BAM. Saya percaya mereka akan terus berada dalam sistem,” katanya.
Walaupun tidak menafikan pemain bebas boleh meraih pendapatan lebih tinggi bergantung kepada keputusan kejohanan dan keupayaan menarik penajaan melalui media sosial, Khe Wei percaya struktur yang kukuh dalam BAM adalah kunci kepada prestasi konsisten pasangan utama negara itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




