Lepas 20 tahun hilang, rangka dinosaur nadir dibawa pulang ke Mongolia

Lepas 20 tahun hilang, rangka dinosaur nadir dibawa pulang ke Mongolia

Ulaanbaatar: Mongolia berjaya mendapatkan semula rangka dinosaur nadir dan sekumpulan fosil yang dieksport secara haram kira-kira dua dekad lalu, kata pihak berkuasa pada 10 Jun.

Ia sekali gus menamatkan usaha bertahun-tahun untuk membawa pulang khazanah paleontologi negara itu.

Koleksi itu termasuk rangka Tarbosaurus bataar yang dianggarkan lebih 50 peratus lengkap selain 28 kumpulan sisa fosil dinosaur yang asalnya ditemukan di Gurun Gobi Mongolia, menurut polis.

Fosil itu dipercayai dibawa keluar secara haram dari Mongolia pada 2006 ‘bagi tujuan mengaut keuntungan’, kata Ketua Jabatan Hubungan Awam Polis, D Munkhkhuyag.

Agensi Kastam Perancis merampas fosil berkenaan antara 2013 hingga 2015 sebelum memulangkan sebahagiannya kepada Monglia mulai tahun berikutnya selaras dengan konvensyen antarabangsa bagi memerangi pemerdagangan haram warisan budaya.

Selepas melalui proses pemulangan fosil yang panjang, fosil itu tiba di ibu negara Ulaanbaatar pada 11 Jun dan akan ditempatkan di Muzium Sejarah Semula Jadi Kebangsaan Mongolia yang baharu untuk tujuan kajian sebelum dipamerkan kepada umum.

“Fosil dinosaur ini tidak ternilai harganya dan adalah sebahagian daripada warisan unik negara,” kata Pengarah Muzium, Manchuk Nuramkhan dalam satu sidang media.

Katanya, pihaknya amat teruja kerana kanak-kanak dan golongan muda berpeluang melihat sendiri warisan dinosaur Mongolia dan mempelajari sejarahnya.

Tarbosaurus bataar yang mempunyai hubungan rapat dengan Tyrannosaurus rex hidup kira-kira 70 juta tahun lalu dengan bukti kewujudannya ditemukan hampir secara eksklusif di Gurun Gobi, Mongolia.

Katanya, pemulangan fosil itu adalah kemenangan penting dalam usaha mendapatkan semula warisan budaya dan saintifik Mongolia yang dibawa keluar secara haram selain mencerminkan peningkatan kerjasama antarabangsa dalam membanteras perdagangan haram barangan antik serta fosil.

Sejak kebelakangan ini, Mongolia mempergiat usaha mendapatkan semula fosil dinosaur yang diseludup ke luar negara susulan peningkatan permintaan daripada pengumpul peribadi dan rumah lelong sekali gus menyumbang kepada perkembangan pasaran gelap antarabangsa bagi spesimen paleontologi bernilai tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top