Jepun jadi mangsa kedua Malaysia

Jepun jadi mangsa kedua Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak berdepan masalah ntuk menundukkan Jepun 3-0 dalam aksi kedua Kumpulan B acara regu berpasukan di Piala Asia Sepak Takraw ASTAF 2025, sebentar tadi.

Dalam aksi di Stadium Titiwangsa itu, skuad negara mengekalkan aksi cemerlang dengan ketiga-tiga regu yang diturunkan mendominasi perlawanan dan menang bergaya dengan keputusan straight set.

Regu pertama yang dibarisi Amirul Zazwan Amir (apit kiri), Syahir Rosdi (tekong) dan Azlan Alias (apit kanan) mudah meraih mata pertama dengan kemenangan 15-11, 15-7.

Jepun jadi mangsa kedua Malaysia
Azlan Alias melakukan hadangan ketika berdepan Jepun pada acara berpasukan Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia ASTAF 2025 di Stadium Titiwangsa di sini hari ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN

Aksi cemerlang skuad negara diteruskan regu kedua menerusi trio Haziq Hairul Nizam (tekong), Farhan Adam (apit kiri) dan Noraizat Nordin (apit kanan) apabila menang straight set 15-8, 15-9.

Aksi Malaysia berdepan Jepun ditutup dengan sempurna oleh Zulkifli Razak (tekong), Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) dan Afifuddin Razali (apit kanan) yang menang selesa 15-8, 15-8.

Terdahulu pada sebelah pagi, anak-anak buah Ahmad Jais Baharun meraih kemenangan pertama selepas menumpaskan Brunei 3-0 dan kemenangan kedua malam ini meletakkan Malaysia di puncak Kumpulan B.

Malaysia akan berdepan Korea Selatan esok dalam aksi terakhir Kumpulan B dan skuad negara perlu menang untuk muncul selaku johan kumpulan untuk laluan yang lebih mudah di separuh akhir.-UTUSAN

Scroll to Top