Washington: Mahkamah Rayuan Amerika Syarikat (AS) pada Khamis membenarkan pentadbiran Presiden Donald Trump meneruskan kutipan tarif global 10 peratus buat sementara waktu dengan mengekalkan penangguhan terhadap keputusan mahkamah rendah yang sebelum ini memutuskan langkah itu tidak sah, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Mahkamah Rayuan bagi Litar Persekutuan di Washington memutuskan bahawa kerajaan persekutuan telah mengemukakan asas mencukupi untuk menunjukkan ia berkemungkinan berjaya dalam rayuan berhubung kes berkenaan, menurut satu perintah mahkamah.
Sejak 24 Februari 2026, AS mengenakan tarif 10 peratus ke atas kebanyakan import dari luar negara.
Trump melaksanakan duti itu sejurus selepas Mahkamah Agung AS memutuskan bahawa banyak tarif terdahulunya menyalahi undang-undang.
Presiden itu kemudian menggunakan langkah kecemasan dengan bergantung kepada undang-undang perdagangan 1974 yang mengehadkan kutipan duti sedemikian kepada tempoh maksimum 150 hari.
Pada awal Mei, Mahkamah Perdagangan Antarabangsa di New York memutuskan bahawa Trump telah melampaui bidang kuasanya dengan mengenakan levi sementara 10 peratus itu.
Panel hakim berkenaan memutuskan bahawa presiden AS tersalah tafsir undang-undang perdagangan yang dijadikan asas bagi pelaksanaan langkah itu.
Bagaimanapun, beberapa hari kemudian, mahkamah rayuan menggantung sementara keputusan mahkamah rendah berkenaan, sekali gus membolehkan kutipan tarif diteruskan sementara proses rayuan berjalan.
Keputusan itu kini dikekalkan.
“Walaupun semua pihak mengemukakan hujah yang meyakinkan, kami akhirnya memutuskan bahawa kerajaan persekutuan berkemungkinan mengalami mudarat yang tidak dapat dipulihkan sekiranya penangguhan tidak diberikan,” menurut mahkamah rayuan itu pada Khamis.
Antara pihak plaintif yang memfailkan saman terhadap kerajaan ialah negeri Washington dan dua syarikat.
Kes itu dijangka dibawa ke Mahkamah Agung.
© New Straits Times Press (M) Bhd




