CeIO agen perubahan integriti negara

CeIO agen perubahan integriti negara

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) mencerminkan komitmen nasional dalam memperkukuh budaya integriti secara menyeluruh merentas sektor awam dan swasta.

Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata, sejak diperkenalkan pada tahun 2010, program ini melahirkan seramai 2,851 CeIO sekali gus membuktikan keperluan dan peranannya sebagai agen perubahan utama dalam memperkukuhkan sistem tatakelola berintegriti

Menurutnya, CeIO bukan sahaja menerima latihan bersifat praktikal dalam aspek pengurusan integriti dan pencegahan rasuah malah turut diperkasa dengan kemahiran sebagai penasihat serta pemantau dasar tatakelola organisasi secara profesional.

“Sepanjang tahun 2023 hingga 2024, sebanyak 12 siri program dilaksanakan secara terbuka melibatkan 586 pegawai daripada pelbagai sektor.

“Kerajaan negeri seperti Sarawak, Sabah dan Terengganu, termasuk organisasi besar seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut menunjukkan komitmen yang tinggi dengan melaksanakan program CeIO secara in-house,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hafaz berkata, langkah ini membuktikan kesungguhan pengurusan tertinggi dalam menanam dan memperkukuh nilai integriti secara menyeluruh dalam organisasi masing-masing.

“CeIO turut memainkan peranan penting dalam pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2029 yang meletakkan pencegahan sebagai tunjang utama dalam memerangi rasuah.

“Pelaksanaan inisiatif seperti Pelan Strategi Pembanterasan Rasuah Organisasi (OACS) dan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) yang diterajui CeIO melalui Unit Integriti di organisasi masing-masing, merupakan sebahagian daripada agenda pembudayaan integriti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam konteks ini, CeIO bukan sekadar pelaksana dasar malah menjadi penasihat kepada pengurusan tertinggi dalam memastikan setiap keputusan dan amalan organisasi selari dengan prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti.

“Usaha ini juga menyokong sasaran kerajaan untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok 25 negara teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia menjelang tahun 2033.

“Peranan CeIO sebagai ejen perubahan amat penting untuk mencapai matlamat ini. Pada peringkat antarabangsa, peranan CeIO turut seiring dengan komitmen Malaysia terhadap Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC).

“Inisiatif mewujudkan Unit Integriti yang diterajui CeIO telah diiktiraf sebagai amalan terbaik oleh United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC), khususnya dalam aspek langkah pencegahan dan pemulihan aset,” katanya.

Menurutnya, bagi memastikan kelangsungan program ini, SPRM kini dalam proses memuktamadkan arahan baharu yang akan menggantikan arahan Perdana Menteri Siri 1 No. 1 Tahun 2011 Pelaksanaan Program Pegawai Integriti Bertauliah.

“Arahan ini dijangka akan memperkukuh pelaksanaan CeIO dengan pendekatan yang lebih adaptif dan relevan kepada kehendak dan cabaran semasa.

“Dalam masa yang sama, peranan Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO) turut menjadi pemangkin kepada pengukuhan jaringan profesional CeIO.

“Penubuhan ACeIO pada 2013 memberi ruang kepada ahli untuk terus berkembang secara profesional melalui pelbagai program susulan termasuk seminar, bengkel dan latihan kompetensi,” katanya.

Tambahnya, program CeIO bukan sekadar latihan, tetapi pelaburan strategik negara dalam membina sistem tatakelola yang bebas rasuah, profesional dan diyakini rakyat.

“Dengan sokongan berterusan daripada semua pihak, CeIO diyakini akan terus menjadi pemacu utama dalam memperkasa integriti di negara ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top