lokman.khairi@hmetro.com.my
Batu Gajah: Niat meningkatkan kesedaran tentang taraf kehidupan Orang Asli menjadi pembakar semangat untuk gadis suku Semai ini mengejar impian dalam industri media dan kewartawanan.
Jasmine Haron, 20, adalah individu pertama dari Kampung Orang Asli Air Denak, Tronoh di sini, yang melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat ijazah sarjana muda di menara gading.
Penuntut Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Sosial di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata, perjalanan pendidikannya bukan sesuatu yang mudah selepas kehilangan bapa ketika berusia 10 tahun dan dibesarkan ibunya, Itam Ngah Tinggal, 60, yang masih bekerja sebagai penoreh getah.
Katanya, sebagai anak bongsu daripada tiga beradik, dia menyaksikan sendiri pengorbanan ibunya yang bekerja keras untuk menyara keluarga selain berdepan penyakit hipertensi.
“Ketika saya darjah empat, ayah meninggal dunia.
“Sejak itu mak yang membesarkan kami adik-beradik seorang diri.
“Mak masih menoreh getah sehingga sekarang dan perlu mendapatkan rawatan susulan di Klinik Kesihatan Tronoh kerana masalah darah tinggi,” katanya.
Dia berkata, keadaan rumah keluarga yang serba sederhana turut mengajar dirinya untuk menghargai setiap peluang diterima.
“Saya tidak mempunyai bilik sendiri di rumah. Ruang utama rumah itulah tempat saya belajar, tidur dan menyimpan barang-barang.
“Sebab itu saya sentiasa berazam untuk berjaya supaya dapat membantu meningkatkan taraf hidup keluarga dan masyarakat saya,” katanya.
Kepayahan Jasmine mendapat perhatian Kerajaan Negeri Perak yang menawarkan dia menyertai Program Anak Angkat Cikgu Saarani (AACS) kendalian Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) sejak berada di Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tronoh.
Katanya, melalui program berkenaan dia menerima bantuan elaun bulanan RM100 ketika di sekolah menengah dan semasa melanjutkan pengajian di Kolej Matrikulasi Perak sebelum elaun itu ditingkatkan kepada RM150 sebulan apabila menyambung pengajian ke universiti.
“Saya dipilih menyertai program itu selepas dicalonkan oleh guru kaunselor sekolah dan melalui proses pemilihan oleh pihak YBUDR.
“Bantuan itu sangat membantu kerana dapat meringankan beban ibu terutama untuk perbelanjaan harian dan keperluan pembelajaran.
“Syukur, hasilnya saya memperoleh keputusan 5A dan 4B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.
Selain elaun bulanan, beliau turut menerima bantuan sekali beri sebanyak RM1,000 bagi persiapan memasuki Kolej Matrikulasi Perak dan UPSI.
“Lebih menyentuh hati saya, pegawai YBUDR sentiasa mengikuti perkembangan akademik dan kebajikan saya sepanjang pengajian.
“Mereka sering menghubungi saya bagi mendapatkan maklumat mengenai keperluan kewangan dan keadaan semasa di universiti,” katanya.
Jasmine berkata, keprihatinan itu membuktikan komitmen YBUDR meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat serta kebajikan sosial selari pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Jasmine berkata, pendidikan adalah jalan terbaik untuk mengubah taraf hidup masyarakat Orang Asli yang masih berdepan pelbagai cabaran terutama dari segi ekonomi dan kesedaran mengenai kepentingan pelajaran.
Katanya, pengalaman hidup dalam keluarga sederhana serta persepsi negatif segelintir pihak terhadap kemampuan anak Orang Asli untuk berjaya menjadi pembakar semangat untuk membuktikan mereka juga mampu bersaing seperti masyarakat lain.
“Ramai generasi muda Orang Asli masih memandang remeh soal pendidikan dan ada yang beranggapan menyambung pengajian hanya akan membebankan keluarga.
“Saya mahu ubah pemikiran itu. Pendidikan adalah kunci untuk memperbaiki kehidupan dan membuka lebih banyak peluang pada masa depan.
“Saya mahu menjadi wartawan atau bekerja dalam industri media kerana saya ingin mengetengahkan kisah serta isu masyarakat Orang Asli supaya lebih ramai memahami kehidupan kami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




