am@hmetro.com.my
Tampin: Guru yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Kem Syed Sirajuddin, Gemas, meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas dan kekejangan otot ketika bersarapan di kantin sekolah, semalam.
Kejadian pada 7.40 pagi itu berlaku ketika Allahyarham Khairul Anuar Ismail, 46, sedang bersarapan bersama beberapa guru lain.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan seorang lelaki meninggal dunia di Hospital Tentera Kem Syed Sirajuddin pada 9.20 pagi.
“Siasatan mendapati lelaki itu yang juga guru sedang bersarapan bersama beberapa orang guru lain di kantin sekolah, namun dikatakan tiba-tiba mengalami sesak nafas dan kekejangan otot, lalu dibawa ke Hospital Tentera Kem Syed Sirajuddin.
“Pihak hospital memberikan bantuan pernafasan namun usaha menyelamat gagal dan guru itu disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, bedah siasat dijalankan di Hospital Tampin yang mengesahkan guru itu meninggal dunia akibat serangan jantung.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas, Ridzuan Ahmad dimaklumkan mengenai pemergian Allahyarham Cikgu Khairul Anuar oleh kariah Masjid Kampung Ladang.
“Dalam kegembiraan menyambut Hari Guru, kami dikejutkan dengan berita duka pemergian Allahyarham cikgu Khairul Anuar. Takziah buat seluruh ahli keluarga arwah,” katanya ketika dihubungi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




