Gara-gara pertahan cinta rakan, remaja mati dikelar

Gara-gara pertahan cinta rakan, remaja mati dikelar
Seorang remaja lelaki ditemui mati dengan kesan kelaran di leher selepas cuba memujuk lelaki agar benarkan hubungan adik perempuannya dengan rakan mangsa. Foto hiasan

Seorang remaja lelaki ditemui mati dengan kesan kelaran di leher selepas cuba memujuk lelaki agar benarkan hubungan adik perempuannya dengan rakan mangsa. Foto hiasan

NEW DELHI – Seorang remaja lelaki ditemui mati di kawasan Nizamuddin, Delhi selepas cuba memujuk salah seorang tertuduh supaya membenarkan adiknya meneruskan hubungan dengan rakan mangsa.

Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Tenggara, Ravi Singh berkata, mangsa, Md Saad, 18, yang sebelum ini terlibat dalam dua kes jenayah, ditemui mati dengan kesan kelaran dalam di bahagian leher.

Menurut Singh, tertuduh dikenal pasti sebagai Altamash, 18, yang merupakan dalang utama; bersama Faizan, 22, seorang pekerja pembaikan bateri; Dilshad, 18, pemandu beca; dan Abrar, 18. Kesemua mereka telah ditahan polis.

Tambahnya, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun juga ditahan di bawah peruntukan Akta Keadilan Juvana.

“Kejadian berlaku pada 12 Mei sekitar jam 8.30 malam apabila polis menerima panggilan bilik kawalan (PCR) mengenai penemuan mayat berhampiran longkang di Nizamuddin Barat.

“Setibanya di lokasi, polis menemui mayat tersebut dengan kesan kelaran dalam di leher, menunjukkan unsur pembunuhan yang disengajakan,” katanya.

Singh menjelaskan, Altamash telah dikenal pasti sebagai penyerang utama yang menggunakan senjata tajam untuk mengelar leher mangsa.

Hasil soal siasat mendedahkan bahawa pembunuhan itu berpunca daripada hubungan romantik antara rakan Saad, Azeem, dan adik perempuan Altamash, Zara.

“Altamash dilaporkan menentang hubungan tersebut walaupun Saad berulang kali cuba memujuknya.

“Saad bertindak sebagai orang tengah bagi pihak Azeem, namun tindakan itu dianggap oleh Altamash sebagai satu campur tangan yang tidak wajar.

“Berang dengan perbuatan itu, Altamash berkomplot bersama rakan-rakannya untuk membunuh Saad,” jelasnya.

Scroll to Top