2 termasuk penunggang basikal maut kemalangan awal pagi di Rompin

2 termasuk penunggang basikal maut kemalangan awal pagi di Rompin

Kuantan: Dua maut manakala seorang cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah basikal di Kilometer 156, Jalan Kuantan-Johor Bahru, di Rompin awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Rompin Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada kira-kira 3.30 pagi.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 28 tahun dari arah Johor Bahru menuju ke Kuantan melanggar penunggang basikal lelaki berusia 22 tahun yang melintas secara tiba-tiba dari arah kiri ke kanan jalan.

“Pemandu tidak sempat mengelak dan melanggar penunggang basikal lalu terbabas masuk ke dalam tali air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ketika kejadian, sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang wanita berusia 36 tahun dari arah Kuantan menuju ke Johor Bahru, turut terkena serpihan komponen kenderaan yang terlibat lalu hilang kawalan dan terjatuh.

Sharif Shai berkata kemalangan itu mengakibatkan dua lelaki itu maut di tempat kejadian manakala wanita terbabit hanya mengalami kecederaan ringan di beberapa bahagian badan.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau turut memohon saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin Inspektor Nurul Iffah Kamarrudin di talian 019-916 9509 atau mana-mana balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top