Pasangan warga Singapura ditemukan maut di inap desa

Pasangan warga Singapura ditemukan maut di inap desa

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua warga Singapura ditemui maut di sebuah inap desa di Taman Taynton View, Cheras di sini, semalam.

Mangsa, seorang lelaki berusia 43 tahun dan wanita berusia 33 tahun ditemui pekerja inap desa berkenaan sebelum kejadian itu dilaporkan kepada pihak berkuasa pada 12.53 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pekerja inap desa itu memaklumkan dia mendapati pintu hadapan masih berkunci dan kasut mangsa masih ada ketika tiba di premis itu pada 11.15 pagi.

Menurutnya, pekerja wanita itu kemudian mengetuk pintu namun tiada jawapan sebelum menghubungi pengurus inap desa berkenaan yang mengarahnya membuka pintu dengan kunci pendua.

“Pekerja itu kemudian mendapati penghawa dingin, kipas siling dan televisyen masih terpasang apabila masuk ke dalam rumah.

“Pekerja itu mengetuk pintu bilik namun tiada jawapan dan cuba membukanya tetapi tidak boleh sebelum membuka tingkap bilik dan melihat dua individu itu di atas katil tidak sedarkan diri serta bilik juga berbau busuk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, berdasarkan keterangan pengurus inap desa itu, dia cuba menghubungi individu itu apabila pekerja memaklumkan lelaki dan wanita itu belum keluar dari inap desa berkenaan, namun gagal.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang kecederaan di bahagian badan individu terbabit dan tiada sebarang unsur jenayah.

“Individu itu masih lengkap berpakaian dan kedua-dua mayat juga mula mereput,” katanya.

Aidil berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi mendapati penghawa dingin dibalut dengan plastik sampah dan tingkap ditutup dengan plastik sampah dan ditampal dengan pita pelekat.

“Pemeriksaan juga mendapati ada dadah disyaki ketamin di dalam bekas piring dalam bilik berkenaan.

“Inap desa berkenaan juga tiada kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Katanya, kematian kedua-dua individu itu disahkan oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM) dan mayat dihantar ke unit Forensik HCTM untuk bedah siasat.

Menurutnya, hubungan kedua-dua individu itu belum dapat dipastikan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top