Tiada saksi tampil sokong dakwaan lori cuba elak kenderaan lain

Tiada saksi tampil sokong dakwaan lori cuba elak kenderaan lain

zahratulhayat@nst.com.my

Teluk Intan: Tiada individu tampil mengesahkan dakwaan lori yang terbabit dalam kemalangan tragis mengakibatkan kematian sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) cuba mengelak sebuah kenderaan yang keluar dari simpang.

Timbalan Ketua Polis Perak Timbalan Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, sehingga hari ini, tiada saksi yang menyokong dakwaan terbabit.

“Pemandu lori telah didakwa semalam dan terdapat sembilan pertuduhan berasingan terhadapnya.

“Setakat ini, tiada saksi yang tampil untuk mengesahkan dakwaan tersebut. Sekiranya ada, pihak polis akan meneruskan siasatan lanjut dan mengambil keterangan mereka untuk perbicaraan,” katanya

Beliau menjawab dakwaan daripada beberapa pihak berhubung kemalangan dipercayai bermula apabila sebuah kenderaan cuba keluar dari simpang menyebabkan lori yang membawa muatan batu itu hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

Ketika ditanya berapa ramai saksi sudah dipanggil setakat ini, beliau mengesahkan bahawa 16 keterangan saksi direkodkan termasuk pemilik lori.

“Ya, itu (ambil keterangan) termasuk pemilik lori. Tiada saksi tambahan pada masa ini,” katanya.

Semalam, pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan tragis meragut nyawa sembilan anggota FRU pada Selasa lalu, didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas sembilan pertuduhan memandu secara berbahaya atau melulu sehingga menyebabkan kematian.

Rudi Zulkarnian Mat Radi, 45, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memandu sebuah lori dengan cara yang berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian sembilan orang di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik, di daerah Hilir Perak sekitar jam 9.05 pagi pada 13 Mei lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top