SUMATERA UTARA – Dua pegawai polis didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang tahanan wanita berusia 23 tahun di Balai Polis (Polres) Asahan pada Jumaat.
Mangsa dikenali sebagai LS, isteri kepada bekas anggota tentera (TNI) yang kini berstatus buruan dalam kes dadah.
Kedua-dua pegawai terbabit ialah Ketua Tahanan dan Barang Bukti, AKP SS serta Ketua Unit Siasatan Narkotik, IPDA S.
Peguam kepada LS, Alamsyah berkata, kejadian bermula apabila mangsa ditahan oleh Unit Siasatan Narkotik Polres Asahan pada 18 Februari 2025 atas kesalahan berkaitan narkotik.
“Kami telah membuat laporan aduan berhubung kejadian yang melibatkan dakwaan perlakuan gangguan seksual terhadap anak guam kami semasa beliau masih ditahan di Rumah Tahanan Polis (RTP) Polres Asahan.
“Anak guam kami telah ditahan di RTP Polres Asahan, namun sepanjang tempoh tahanan, beliau menerima layanan tidak bermoral yang dipercayai dilakukan oleh AKP SS dan IPDA S,” ujarnya.

Alamsyah ketika membuat laporan ke Polis Wilayah Sumatera Utara Propam. Foto Detik.com
Menjelaskan lebih lanjut, Alamsyah berkata, AKP SS memberikan kebenaran kepada LS untuk menggunakan telefon bimbit sepanjang dalam tahanan, namun tindakan itu dipercayai mempunyai niat tersembunyi.
“AKP SS membenarkan anak guam kami memegang telefon bimbit atas alasan agar dapat berkomunikasi, tetapi sebenarnya dia ingin membawa anak guam kami ke ruangannya bagi melampiaskan nafsunya. Namun, anak guam kami menolak,” jelasnya.
Menurutnya lagi, tidak cukup dengan itu, AKP SS turut didakwa menghantar mesej WhatsApp berunsur lucah yang tidak sesuai dengan kedudukannya sebagai pegawai kanan polis.
“Selepas anak guam kami menolak ajakan tersebut, AKP SS mula menghantar mesej WhatsApp berunsur tidak senonoh. Kami mempunyai bukti perbualan yang dihantar oleh AKP SS kepada anak guam kami,” katanya.
Sementara itu, katanya lagi, IPDA S juga didakwa melakukan perlakuan tidak senonoh terhadap LS.
Menurut Alamsyah, IPDA S menjanjikan bantuan dalam kes yang dihadapi oleh LS dan beberapa kali membawa mangsa ke ruangannya.
“IPDA S kerap membawa anak guam kami keluar dari bilik tahanan RTP Polres Asahan untuk dibawa ke ruangannya, dan di sana, anak guam kami telah dicium sebanyak dua kali pada waktu yang berbeza,” katanya.
Dalam kenyataan berasingan, Ketua Sub Bahagian Penerangan Awam Polis Sumatera Utara, Kompol Siti Rohani ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan menyemak laporan tersebut.