ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad sepak takraw negara menutup saingan peringkat kumpulan regu berpasukan Piala Asia 2025 dengan penuh bergaya apabila menewaskan Korea Selatan 3-0 dalam aksi terakhir Kumpulan B yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.
Kemenangan itu memastikan Malaysia layak ke separuh akhir selaku juara kumpulan, selepas mencatat tiga kemenangan bersih termasuk ke atas Jepun dan Brunei dalam aksi terdahulu.
Dalam perlawanan hari ini, regu pertama Malaysia yang dibarisi Haziq Hairul Nizam (tekong), Azlan Alias (apit kanan) dan Farhan Adam (apit kiri, kapten) menundukkan regu utama Korea Selatan – Cheon Dong Ryung, Seon Woo Young Su dan Oh Dae Yang (kapten) – dengan keputusan meyakinkan 15-6, 15-9.
Regu kedua negara, yang terdiri daripada Muhammad Syahir Rosdi (tekong), Muhammad Shahalril Aiman Halim (apit kanan) dan Amirul Azwan Amir (kapten, apit kiri), melengkapkan kemenangan pasukan apabila menewaskan regu kedua Korea Selatan Seo Seungbeom, Lee Junuk dan Kim Young Cheol (kapten) – dengan mata 15-6, 15-11.
Regu ketiga, iaitu Zulkifli Razak, Afifuddin Razali dan Aidil Aiman Azwawi (kapten), berjaya mencatat kemenangan 15-8, 15-7 ketika berdepan Nam Sang Hun, Shin Hee Seop dan Kin Jung Man (kapten).
Malaysia akan menanti naib juara Kumpulan A dalam aksi separuh akhir yang dijadual berlangsung esok dengan misi besar menamatkan kemarau kejuaraan regu berpasukan.
Selepas kali terakhir meraih kejuaraan acara itu pada Sukan Sea Manila 1991.
“Kalau kita tengok dari segi prestasi pemain-pemain kita pada perlawanan petang ini ada menunjukkan peningkatan yang baik dan kita harap momentum itu dapat kita kemaskan lagi untuk perlawanan separuh akhir pada esok pagi insya-Allah,” kata ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun.
“Mungkin dari segi taktikal pemain-pemain kita, apabila menang dengan mudah set pertama, mereka agak kendur di set kedua. Kita perlu bangkit supaya tidak terikut dengan rentak pasukan Korea. Itu antara beberapa elemen yang kita kena pasti supaya pemain-pemain kita lebih fokus untuk perlawanan separuh akhir pada hari esok.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




