Larin selamatkan Kanada, seri 1-1 dengan Bosnia di aksi pembukaan Piala Dunia 2026

Larin selamatkan Kanada, seri 1-1 dengan Bosnia di aksi pembukaan Piala Dunia 2026

Toronto: Cyle Larin muncul penyelamat Kanada apabila meledak gol penyamaan untuk membantu tuan rumah mengikat Bosnia dan Herzegovina 1-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala Dunia 2026, awal pagi tadi.

Kanada yang beraksi di hadapan penyokong sendiri hampir dikejutkan Bosnia selepas ketinggalan sejak babak pertama sebelum bangkit meraih satu mata berharga.

Bosnia terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-21 menerusi Jovo Lukic yang bijak menyudahkan hantaran hasil situasi sepakan penjuru untuk mencipta gol antarabangsa pertamanya.

Tersentak dengan jaringan itu, Kanada meningkatkan tempo permainan dan mengasak kubu lawan tanpa henti dalam usaha memburu gol penyamaan.

Peluang terbaik hadir pada minit ke-53 menerusi Richie Laryea, namun Bosnia terselamat hasil tindakan luar biasa Sead Kolasinac yang berjaya mengalihkan percubaan pemain itu terkena palang sebelum bola dikeluarkan.

Kanada terus menggandakan tekanan dengan melancarkan serangan bertali arus, tetapi ketumpulan penyudah menyebabkan setiap peluang yang dicipta gagal dimanfaatkan.

Ketika Bosnia dilihat semakin hampir meraih kemenangan tipis, kemasukan Larin pada minit ke-76 mengubah corak permainan tuan rumah.

Kurang tiga minit selepas dimasukkan, penyerang berpengalaman itu mempamerkan sentuhan berbisa apabila bijak berpusing di dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan yang terkena pertahanan lawan untuk menewaskan penjaga gol Bosnia.

Jaringan itu mencetuskan sorakan gemuruh penyokong tuan rumah yang memenuhi Stadium Toronto ketika Kanada berjaya mengelak daripada memulakan kempen Piala Dunia dengan kekalahan.

Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata dalam saingan Kumpulan B yang dijangka terus sengit selepas ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top