Isu penjaja belon tanpa lesen di ibu kota masih belum reda apabila timbul pula kes seorang lelaki yang bertindak mengugut anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di media sosial.
Tindakan itu akhirnya membawa padah apabila individu terbabit bakal didakwa di mahkamah esok.
Lelaki buat ugutan di media sosial telah ditahan polis…
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, lelaki terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah serta kenyataan yang boleh menyebabkan ketakutan awam.
Susulan laporan polis yang dibuat pada 7 April lalu oleh seorang pegawai penguat kuasa DBKL, tangkapan terhadap lelaki berusia 57 tahun itu dilakukan pada jam 12.10 tengah malam keesokan harinya oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Cheras.
Tangkapan berpunca daripada perbualan WhatsApp…
Siasatan awal mendapati ugutan tersebut berpunca daripada perbualan dalam kumpulan WhatsApp yang kemudian dikongsi di media sosial dalam bentuk tangkap layar.
Pengadu menyatakan tangkap layar berkenaan adalah ancaman, hasutan dan berbaur ugutan dengan niat terhadap penguat kuasa DBKL sebagai penjawat awam yang menguatkuasakan undang-undang.- Jelas Datuk Rusdi lagi.
Kes ini menarik perhatian ramai apabila insiden rampasan belon yang dilakukan oleh penguat kuasa DBKL menjadi tular dan mendapat pelbagai reaksi masyarakat, termasuk yang mempertahankan peniaga.
Namun, tindakan melampaui batas seperti mengugut pihak berkuasa jelas tidak boleh dikompromi dan pihak berwajib telah mengambil tindakan sewajarnya.
Pssttt! Dalam apa jua isu sekalipun, marah atau tidak puas hati perlu disuarakan melalui saluran yang betul. Mengugut atau menyebarkan hasutan bukan saja tidak menyelesaikan masalah, malah boleh membawa kepada tindakan undang-undang. Hormatilah mereka yang menjalankan tugas demi menjaga keamanan dan ketenteraman awam.
Kredit: Harian Metro
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.