Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris tampil menjelaskan tujuan sebenar di sebalik pelaksanaan inisiatif Golden Voucher yang diselitkan secara rawak dalam pek Murukku Che Ani Premium.
Menurut pengasas Che Ani Premium itu, inisiatif terbabit dilaksanakan dengan penuh keikhlasan tanpa niat untuk meraih publisiti atau menunjuk-nunjuk di media sosial.
“Niat saya hanya ingin berkongsi rezeki dengan cara paling ikhlas. Tapi sayangnya, ada yang menuduh ini hanya gimik kerana mereka tidak menerima Golden Voucher tersebut,” jelasnya.
Tambah Noraniza atau lebih dikenali sebagai Kak Ani, dia tidak pernah merancang untuk membuat rakaman video ketika penyerahan wang tunai atau menayangkan pemberian tersebut secara terbuka kepada umum.
“Dalam zaman serba moden ini, seolah-olah setiap kebaikan perlu ditayang untuk dipercayai. Sedangkan nilai keikhlasan itu lebih bermakna apabila ia dilakukan tanpa perlu diumumkan.
“Saya mohon agar tidak mempertikaikan niat baik ini hanya kerana tidak semua bertuah untuk menerima Golden Voucher,” tambahnya.
Dalam kenyataan susulan, pihak pengurusan Che Ani Premium turut menegaskan bahawa penyertaan dan pemilihan penerima Golden Voucher dilakukan secara telus serta rawak.
Mereka menekankan bahawa objektif utama inisiatif ini adalah untuk menyebarkan semangat memberi dan membantu sesama, tanpa mengharapkan balasan.
Syarikat itu juga merakamkan penghargaan kepada semua pelanggan atas sokongan yang tidak putus-putus dan berharap masyarakat akan terus menilai sesuatu dengan hati terbuka.
“Rezeki itu bukan pada apa yang kita nampak, tetapi pada keberkatan yang kita rasa.
“Bagi yang telah menerima Golden Voucher boleh terus berhubung dengan pengurusan Che Ani Premium dan transaksi akan terus dibuat,” ujar wakil Che Ani Premium.




