Jakarta: Gunung Lewotobi Laki-Laki di wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia meletus beberapa kali pada Ahad, menyebabkan Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi negara itu mengeluarkan amaran penerbangan tertinggi, lapor Xinhua.
Letusan paling kuat berlaku pada 2.05 petang waktu tempatan, memuntahkan debu dan abu gunung berapi setinggi 6,000 meter ke udara.
Awan tebal berwarna kelabu itu menyebar ke arah utara, timur laut, barat dan barat laut dari kawah.
Pihak berkuasa mengeluarkan Notis Pemerhatian Gunung Berapi untuk Penerbangan (VONA) ke tahap merah, iaitu amaran tertinggi, dan menasihatkan pesawat untuk mengelak terbang di bawah paras 6,000 meter berhampiran gunung itu kerana bahaya abu gunung berapi.
Syarikat penerbangan juga diberi amaran mengenai kemungkinan gangguan penerbangan akibat asap dan abu yang merebak.
Bagi melindungi komuniti berhampiran, pihak berkuasa mengisytiharkan zon bahaya sejauh enam kilometer dari kawah dan melarang pelancong serta pengunjung daripada memasukinya.
Penduduk yang tinggal di lereng gunung turut diberi amaran tentang risiko aliran lahar (aliran lumpur gunung berapi) sekiranya hujan lebat berlaku, memandangkan sungai-sungai yang berpunca dari puncak boleh membawa runtuhan dan sisa gunung berapi.
Penduduk di kawasan yang terjejas abu turut dinasihatkan memakai pelitup muka bagi mengurangkan risiko pernafasan akibat partikel di udara.
Gunung Lewotobi Laki-Laki yang berketinggian 1,584 meter adalah salah satu daripada 127 gunung berapi aktif di Indonesia.
© New Straits Times Press (M) Bhd