hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perkembangan media sosial dan kecanggihan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) antara cabaran utama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menangani persepsi negatif terhadap agensi itu.
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, Hisyam Mohd Yusoff berkata, maklumat di media sosial menyebabkan sesuatu naratif boleh tersebar dengan pantas walaupun fakta sebenar belum diketahui.
Menurutnya, persepsi masyarakat dipengaruhi pelbagai faktor termasuk kecenderungan individu, tahap rasionaliti, amalan membaca tanpa memahami konteks penuh serta pengaruh pempengaruh dan ideologi politik.
“Cabaran persepsi adalah antara cabaran paling kritikal dan utama yang berlaku bukan saja kepada SPRM tetapi kepada seluruh organisasi kerajaan mahupun swasta.
“Persepsi ada dua iaitu positif dan negatif. Persepsi positif kita sokong dan hargai namun persepsi negatif perlu ditangani dengan baik,” katanya ketika menjadi tetamu slot Zoom In “Fakta versus Persepsi” di MACC FM, hari ini.
Hisyam berkata, SPRM melalui BKS sentiasa berusaha menyalurkan maklumat sahih dan tepat kepada masyarakat melalui media massa serta media sosial.
Menurutnya, tindakan pantas dalam menjelaskan sesuatu isu penting bagi membetulkan tanggapan tidak tepat, terutama ketika berlaku krisis komunikasi.
Katanya, dalam masa sama kecanggihan AI termasuk kandungan palsu dan ‘deepfake’ juga menambah cabaran kepada SPRM dalam memastikan masyarakat memperoleh maklumat sahih.
“SPRM adalah agensi yang sentiasa menjadi tumpuan masyarakat dan media. Bagi menangani persepsi, SPRM kerap membuat perkongsian maklumat terkini kepada pihak media dan mengadakan sidang media berkala.
“Pengurusan tertinggi SPRM juga tampil berkongsi perkembangan kes bagi memastikan maklumat sahih dan menunjukkan ketelusan.
“Dalam masa sama, SPRM sentiasa menjalin hubungan baik dengan pihak media bagi memastikan penyaluran maklumat dan informasi sentiasa pantas serta tepat.
“Peranan media amat penting dalam membantu agensi kami membentuk persepsi positif bermanfaat kepada masyarakat,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, tidak semua fakta berkaitan sesuatu siasatan boleh dikongsi secara terbuka kerana SPRM tertakluk kepada aspek kerahsiaan serta perlindungan maruah individu yang disiasat.
Dalam pada itu, Hisyam berkata, masyarakat perlu mengamalkan sikap bertanggungjawab dengan menyemak sumber sebelum berkongsi sesuatu maklumat di media sosial.
“Keinginan menjadi orang pertama atau mengejar ‘view’ dan ‘like’ adalah di luar kawalan kita namun kita perlu menjadi individu bertanggungjawab,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
