Ipoh: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Changkat Larah, Kamunting, di Larut Matang dan Selama malam ini berikutan kejadian banjir yang berlaku di Changkat Larah.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Larut Matang dan Selama Mohd Nasrul Menhat berkata PPS tersebut dibuka pada 8.30 malam ini.
“Mohon penyelarasan, bantuan dan kerjasama semua jabatan dan agensi dalam hal ini (pembukaan PPS),” katanya dalam kenyataan ringkas malam ini.
Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Larut Matang dan Selama dalam kenyataan berasingan memaklumkan kawasan yang dinaiki air atau terputus hubungan membabitkan jalan utama Taman Larah Damai dan jalan utama Taman Lela.
Jumlah sebenar mangsa masih belum dipastikan.
Menurut PKOD, paras air sungai tinggi berikutan hujan berterusan sejak petang tadi dengan keadaan semasa cuaca pula hujan renyai.
© New Straits Times Press (M) Bhd

