am@hmetro.com.my
Shah Alam: Tindakan segelintir penduduk pangsapuri kos rendah dan sederhana di sini meletakkan kenderaan rosak, lama dan usang di petak parkir kawasan kediaman itu mengundang pelbagai masalah terutama kekurangan ruang meletak kenderaan.
Penduduk juga terpaksa parkir jauh atau di bahu jalan hingga menyebabkan laluan keluar masuk sempit selain kenderaan tersadai menjadi tumpuan binatang berbisa.
Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Seksyen 7, Sahrum Ayumi Yusoff berkata, masalah itu berlarutan lama dan menjadi beban apabila situasi sama dihadapi lebih 50 blok pangsapuri di kejiranan berkenaan, khususnya Pangsapuri Nilam Sari yang agak kritikal dengan ada kenderaan yang dikesan tersadai lebih lima tahun.
“Di kawasan Pangsapuri Nilam Sari saja, terdapat lebih 100 kenderaan rosak, tersadai dan ditinggalkan begitu sahaja, sama ada kereta, motosikal dan van, yang kebanyakannya diletakkan di petak parkir.
“Semua kemungkinan ada…sama ada ia milik penduduk masih menghuni, ditinggalkan penduduk yang berpindah atau sengaja ditinggalkan. Ada juga penghuni beli kereta lain, jadi kereta lama terbiar di parkir.
“Selain itu kita mengesan ada pemilik sudah meninggal dunia, dengan kenderaan dijadikan tempat simpan barang atau stor pemilik,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, pihaknya pernah menemui pemilik tidak bertanggungjawab itu, mengarahkan mereka membawa keluar kenderaan yang tersadai, namun tindakan diambil hanya dengan mengalihkan ia ke blok lain.
“Ada yang dakwa sayang kereta lama walaupun sudah rosak dan tidak digunakan, sedangkan dia sudah mengambil hak pengguna lain yang memerlukan petak parkir.
“Malah masalah parkir boleh menjadi punca gaduh disebabkan orang akan double park dan menghalang kenderaan yang mahu keluar cepat terutama ke tempat kerja,” katanya.
Tinjauan Harian Metro di kawasan pangsapuri berkenaan mendapati, banyak kenderaan diletakkan di bahu jalan menyebabkan jalan sempit dan sesak, manakala petak parkir dikuasai kenderaan usang dan rosak.
Boleh dikatakan sebahagian besar kenderaan ditinggalkan adalah jenama tempatan dan ada van yang menjadi tempat simpan barangan pemilik, selain kerangka motosikal didakwa ditinggalkan penyewa yang dipercayai penuntut universiti tamat pengajian.
Menurut Sahrum Ayumi, Pangsapuri Nilam Sari mempunyai tujuh blok dengan setiap satu terdapat antara 100 ke 108 unit rumah, dengan 90 peratus daripadanya diduduki tanpa had parkir.
“Setiap rumah pula rata-rata mempunyai sekurang-kurangnya dua hingga tiga kenderaan manakala rumah bujang kebanyakannya empat hingga lima kenderaan, jadi sudah tentu parkir tidak cukup,” katanya yang memaklumkan isu itu sudah dipanjangkan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam beberapa siri pertemuan dengan Ahli Majlis, namun seperti tiada penyelesaian tuntas.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Surau Al Hijrah yang menetap di pangsapuri itu sejak 2005, Hanipah Jantan menganggap tindakan pemilik kenderaan yang tidak bertanggungjawab itu seperti mengambil hak penduduk lain kerana petak parkir bukan hak peribadi.
“Kalau ada pengurusan keselamatan yang menjaga, boleh tetapkan satu rumah satu atau dua parking tetapi di sini bebas. Apabila bebas, ada pula yang ambil kesempatan.
“Apabila kenderaan di parkir tepi jalan, laluan pula menjadi sempit terutama kawasan selekoh antara blok hingga menyukarkan lori sampah keluar masuk, selain jentera bomba jika perlu lakukan kerja menyelamat,” katanya.
Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd
