Perketat kawalan pelabuhan bagi bendung kemasukan sisa haram

Perketat kawalan pelabuhan bagi bendung kemasukan sisa haram

am@hmetro.com.my

Pelabuhan Klang: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan terus mempertingkatkan kawalan di pelabuhan negara khususnya Pelabuhan Klang dalam usaha membanteras kemasukan sisa haram.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan itu dilakukan pihaknya menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Kementerian tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menjadikan negara ini sebagai destinasi pelupusan sisa oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Semua pengimport diingatkan supaya mematuhi sepenuhnya segala kehendak perundangan dan peraturan yang telah ditetapkan dan sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan undang-undang tegas tanpa kompromi,” katanya kepada pemberita selepas lawatan pemeriksaan kontena sisa haram di Pelabuhan Utara, di sini, hari ini.

Nik Nazmi berkata, sejak 14 Mac lalu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menahan 354 kontena yang disyaki mengandungi buangan elektronik (e-sisa) dan sisa plastik yang memasuki negara melalui Pelabuhan Klang khususnya Pelabuhan Utara.

Katanya, pemeriksaan berkenaan dilakukan susulan maklumat diterima daripada sebuah badan bukan kerajaan di Amerika Syarikat mengenai kemasukan kontena dari negara itu.

“Pelbagai agensi penguatkuasaan dan teknikal termasuk JAS, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta SIRIM Berhad akan meneruskan pemeriksaan ke atas baki kontena yang masih belum diperiksa bersama-sama dengan JKDM,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh 1 Januari hingga 13 Mei lalu, JAS memeriksa 179 kontena yang disyaki membawa e-sisa dengan 122 kontena (68 peratus) ditahan serta disahkan membawa sisa berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut mendapati pengimport terlibat membuat pengisytiharan palsu.

“Susulan itu, sebanyak 119 notis arahan dikeluarkan kepada syarikat pengimport di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 bagi tujuan pemulangan semula kontena ke negara asal,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi berkata, kerajaan negeri digalakkan untuk membenarkan perlombongan unsur nadir bumi (REE) dilaksanakan namun perlu mengikut syarat serta prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Beliau berkata, kerajaan tidak meminggirkan mana-mana negeri untuk berbuat demikian kerana ia turut menjadi hasrat negara untuk menjadi hab bukan hanya melombong REE tetapi nilai tambah lain antaranya pemprosesan sumber berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top