London: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola akan membuat keputusan mengenai masa depan Jack Grealish pada penghujung musim ini.
Grealish semakin tersisih daripada perancangan Guardiola sejak peranannya yang menyerlah dalam kempen treble City pada 2023.
Pemain berusia 29 tahun itu hanya membuat tujuh penampilan sebagai kesebelasan utama dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dan dibiarkan di bangku simpanan ketika City tewas mengejut 0-1 di final Piala FA menentang Crystal Palace, Sabtu lalu.
Situasi itu mencetuskan spekulasi kemungkinan pemain sayap England itu akan meninggalkan Stadium Etihad pada jendela perpindahan musim panas nanti.
Guardiola berkata, perbincangan akan diadakan antara pengarah bola sepak yang akan berundur, Txiki Begiristain dengan penggantinya, Hugo Viana dan wakil Grealish sebelum membuat keputusan sama ada dia akan terus bersama City musim depan.
“Kami belum berbincang, saya belum bercakap dengannya,” kata Guardiola.
“Orang mungkin tak percaya saya, tetapi perkara seperti ini melibatkan ejen dan kelab serta Txiki dan Hugo. Mereka berdua yang akan membuat keputusan.
“Apa yang akan berlaku, akan berlaku, tetapi dia perlu kembali dan mula mendapatkan minit permainan semula.”
Guardiola mengakui bekas bintang Aston Villa itu yang masih mempunyai baki dua tahun kontrak, sudah tentu tidak gembira dengan kurangnya peluang bermain.
“Bukan Jack sahaja. Tiada satu pun pemain dalam bilik persalinan saya dan saya fikir dalam semua bilik persalinan di seluruh dunia yang gembira apabila mereka tidak bermain,” katanya.
“Apabila pasukan menang dan terus menang, mereka perlu memahami mengapa semuanya berlaku begitu, tetapi mereka tetap tidak gembira.
“Mereka berada di sini untuk bermain dan apabila mereka tidak bermain, mereka tidak berpuas hati. Itu perkara biasa di semua kelab.”
Seorang pemain yang pasti akan meninggalkan kelab ialah Kevin De Bruyne, yang dijangka membuat penampilan terakhir di laman sendiri pada aksi EPL menentang Bournemouth, awal pagi esok.
Pemain tengah berusia 33 tahun itu akan tamat kontrak pada Jun dan akan berpisah dengan kelab selepas sedekad yang gemilang di Etihad apabila beliau memenangi 16 trofi.
Walaupun pemain kebangsaan Belgium itu menyatakan dia masih mampu bersaing di EPL, Guardiola percaya sudah tiba masanya untuk bergerak ke fasa seterusnya selepas prestasinya menurun susulan kecederaan dan kemerosotan prestasi dalam dua tahun terakhir.
“Ada pemain yang sangat sukar untuk digantikan, memang sangat sukar atas pelbagai sebab,” katanya.
“Kami sedar akan perkara itu tetapi musim ini telah kami lalui dan ia tidak boleh dinafikan. Sudah tentu kami perlu terus melangkah ke hadapan.”
© New Straits Times Press (M) Bhd



