Beijing: Impian terakhir seorang penghantar makanan berusia 20 tahun di China yang terkorban ketika menyelamatkan dua individu daripada lemas menyentuh hati ramai netizen sehingga mendorong syarikat tempatnya bekerja untuk menunaikan hasrat berkenaan, lapor South China Morning Post.
Mendiang Jin Xiaowu, yang berasal dari wilayah Guizhou di barat daya China meninggal dunia ketika cuba menyelamatkan seorang bapa dan anak lelakinya yang dihanyutkan arus pada 27 Mei lalu.
Ketika kejadian, Xiaowu bersama rakan sekerjanya, Wang Fangyang sedang berjalan di tepi sungai selepas menamatkan syif penghantaran mereka sebelum terdengar jeritan meminta pertolongan.
Difahamkan, dua beranak itu secara tidak sengaja memasuki kawasan air yang lebih dalam ketika bermain di sungai berkenaan sebelum ditarik arus bawah yang kuat.
Tanpa berlengah, Xiaowu, Fangyang serta dua lelaki lain terjun ke sungai untuk menyelamatkan mangsa.
Usaha mereka berjaya membawa kedua-dua mangsa ke tempat selamat, namun, Xiaowu yang keletihan selepas operasi menyelamat itu akhirnya dihanyutkan arus sebelum lemas.
Selepas kematiannya, seorang rakan memeriksa aplikasi nota dalam telefon bimbit Xiaowu dan menemui dua impian yang ingin dicapainya pada 2026 iaitu mengumpul simpanan sebanyak 20,000 yuan (kira-kira RM13,000) dan membelikan bapanya sebuah van mini.
Meskipun masih muda, Xiaowu dikenali sebagai seorang yang sangat mengutamakan keluarga dan rajin bekerja.
Adiknya turut berkongsi bahawa mendiang masih setia memakai baju-T yang dihadiahkannya sejak tujuh tahun lalu sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang terhadap keluarganya.
Xiaowu menyertai Meituan, penyedia perkhidmatan penghantaran terbesar di China pada Februari lalu.
Baru-baru ini, beliau turut menggunakan wang simpanannya untuk membelikan ibunya sebuah telefon bimbit baharu.
Xiaowu turut merancang untuk membelikan sebuah van mini selepas menyedari bapanya sering berulang-alik menggunakan basikal elektrik walaupun dalam keadaan cuaca buruk selain pernah menghantar foto kenderaan itu kepada rakannya bagi menceritakan impiannya.
Ketika hayatnya, mendiang yang pernah menerima anugerah penghantaran terbaik dalam pasukannya dikenali sebagai seorang pekerja yang berdedikasi dan cemerlang.
Selepas ketiadaannya, beliau menerima penghormatan tinggi, namun ahli keluarga memutuskan untuk menolak semua tawaran bantuan daripada orang ramai yang ingin merealisasikan impian terakhirnya.
Syarikat Meituan dilaporkan memberikan sumbangan ihsan sebanyak 100,000 yuan (kira-kira RM65,000) kepada keluarga terbabit dan menghadiahkan sebuah kereta kepada mereka sehari sebelum Hari Bapa pada 20 Jun lalu, selain berjanji terus menyokong keluarga Xiaowu pada masa hadapan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




