am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Makmal haram bagi memproses dadah methamphetamine bernilai RM35.24 juta didalangi dua warga asing Kanada dan Australia terbongkar hasil Operasi (Op) Rumbia pada 10 September lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata, operasi di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur itu menyaksikan enam siri serbuan dengan 11 suspek berusia antara 25 hingga 48 tahun ditahan.
“Operasi ini bukan sahaja berjaya menumpaskan rangkaian sindiket pengedaran dadah, malah turut membawa kepada pembongkaran sebuah makmal haram yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah serta didalangi warga asing.
“Ia sekaligus menggagalkan usaha sindiket untuk membekalkan dadah ke pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Menurutnya, operasi berkenaan adalah susulan siasatan berterusan daripada serbuan makmal dadah di Puncak Alam, Selangor menerusi Op Eumenes dan Seremban, Negeri Sembilan menerusi Op Thrips, baru-baru ini.
Menerusi Op Rumbia ini, katanya JSJN Bukit Aman menjalankan enam siri serbuan dan berjaya menangkap 11 suspek terdiri daripada enam lelaki tempatan serta dua lelaki dan tiga wanita warga asing.
Hussein berkata, serbuan pertama di sebuah banglo di sekitar Ampang, Selangor membawa kepada penahanan tiga suspek dan penemuan serbuk disyaki methamphetamine seberat 345 kilogram (kg) serta cecair disyaki dadah sama seberat 344kg.
“Polis turut menemukan serbuk MDMA seberat 320 gram (g), sepucuk pistol jenis revolver .38, tujuh butir peluru hidup serta pelbagai mesin dan peralatan yang digunakan untuk memproses dadah.
“Modus operandi sindiket ini adalah menjadikan rumah seperti banglo di kawasan perumahan sebagai makmal memproses dadah dan dipercayai aktif sejak Januari tahun ini. Kediaman itu dipercayai disewa dengan harga antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan,” katanya.
Serbuan kedua di sebuah kondominium membawa kepada penahanan dua lagi suspek serta rampasan serbuk MDMA seberat 30.5kg, ganja 20g dan pil Erimin 5 seberat 63g.
“Serbuan ketiga hingga keenam dijalankan di sekitar Kepong, Brickfields dan Sepang serta berjaya menangkap enam lagi suspek kerana dipercayai mempunyai penglibatan dalam sindiket pemprosesan dadah.
“Serbuan kelima di sekitar Subang Jaya berpandukan maklumat dan pandu arah suspek kelapan turut membawa kepada penemuan pelbagai peralatan pemprosesan dadah,” katanya.
Beliau berkata, premis di Subang Jaya itu dipercayai sedang disediakan untuk dijadikan makmal dadah haram,namun disyaki belum beroperasi secara aktif.
“Jumlah keseluruhan rampasan ialah serbuk methamphetamine seberat 345 kilogram, cecair methamphetamine 347 kilogram, serbuk MDMA 30.84 kilogram, pil Erimin 5 dan sedikit ganja.
“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM35.24 juta dan boleh merosakkan seramai tiga juta orang yang menggunakannya,” katanya.
Hussein berkata, dua daripada 11 suspek dikenal pasti sebagai ketua sindiket yang turut berperanan sebagai ahli kimia bagi memproses dadah.
“Dua-dua adalah warga asing berusia lingkungan 40-an. Seorang lelaki Korea memiliki pasport Kanada dan seorang lagi lelaki Vietnam memiliki pasport Australia.
“Kita perlu semak dengan kedutaan sama ada pasport itu betul, tetapi sewaktu serbuan dan tangkapan, seorang memiliki pasport Kanada dan seorang memiliki pasport Australia,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial, manakala siasatan masih dijalankan bagi menentukan sama ada mereka pernah memasuki negara ini sebelum ini.
“Semua 11 suspek ini adalah satu sindiket yang terbabit dalam pemprosesan di makmal dadah haram ini dan juga pengedaran dadah daripada makmal berkenaan.
“Mereka mempunyai beberapa fungsi termasuk ketua, ahli kimia, penghantar dan ahli dengan peranan masing-masing,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd


