KLANG: Mayat seorang lelaki dipercayai antara dua pemancing yang dilaporkan dicari pada hari keempat operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditemukan terapung dalam keadaan memakai jaket keselamatan di perairan Hutan Melintang, Perak.
Mayat berkenaan ditemukan kira-kira pukul 4.26 petang oleh sebuah bot nelayan sebelum dimaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak.
Pegawai Operasi Maritim Malaysia Selangor, Leftenan Mohd. Syafiq Sazali berkata, mayat pemancing itu ditemui kira-kira 5.5 kilometer dari sempadan perairan negeri ini sebelum Kapal Maritim (KM) Nusa digerakkan ke tempat tersebut.
“Mayat terbaharu ini ditemui pada jarak kira-kira 3.7 kilometer dari lokasi mayat Mohd. Shahril Abd. Rahman ditemukan semalam. Mayat itu memakai jaket keselamatan dalam keadaan terlangkup,” katanya ketika ditemui Pos Kawalan Hadapan (PKH) Jeti Sementa, Pangkalan Nelayan Sementa, di sini, hari ini.
Bagaimanapun pengecaman mayat sedang dilakukan oleh ahli keluarga.
Semalam, mayat allahyarham Mohd. Shahril, 43, dijumpai nelayan pada hari ketiga operasi SAR menjadikan lima pemancing yang dilaporkan hilang sebelum ini, dijumpai.
Mereka antara tujuh pemancing termasuk seorang tekong yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu selepas keluar menaiki bot berukuran 30 kaki panjang dan lapan kaki lebar dari jeti menuju ke perairan berhampiran Permatang Sedepa (One Fathom Bank) pada pukul 8 pagi.
Ketujuh-tujuh pemancing tersebut ialah Mohd Shairazi Abdul Aziz, 43; Muhd. Hamiszar Puniran, 45; Mohd. Rizal Mohamad Sadali, 45; Muhammad Ridzuan Ruhaizat. 37; Mohd. Shahril Abd. Rahman, 43; Zulfikalnain Awang, 47, (tekong) dan Raja Mohd. Rozi Raja Mohamud, 49, yang dikenali sebagai Tok Penghulu.
Bagaimanapun empat iaitu Mohd. Shairazi, Muhd. Hamiszar, Mohd. Rizal dan Zulfilkalnain ditemui selamat pada Selasa lalu sementara Mohd. Shahril disahkan meninggal dunia dan Muhammad Ridzuan serta Raja Mohd. Rozi masih dicari.
Kesemua mereka dilaporkan hanyut selepas bot dinaiki karam akibat dipukul ombak setinggi empat meter. – UTUSAN

