Palace rai malam magis di Selhurst Park

Palace rai malam magis di Selhurst Park

London: Tiga hari selepas mencipta sejarah menjuarai Piala FA buat kali pertama, Crystal Palace terus berpesta apabila menewaskan Wolverhampton Wanderers 4-2 dalam aksi penuh bergaya di Selhurst Park, awal pagi tadi.

Dengan suasana meriah dan penuh emosi di laman sendiri, skuad kendalian Oliver Glasner jelas enggan melepaskan momentum kemenangan berprestij di Wembley apabila bangkit daripada ketinggalan untuk melakar satu lagi malam indah bersama penyokong setia mereka.

Wolves terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi tandukan Emmanuel Agbadou pada minit ke-24, namun sambutan penyokong Palace kembali bergema selepas Eddie Nketiah meledak dua gol pantas masing-masing pada minit ke-27 dan 32.

Gol pertama menyaksikan Nketiah menyambar hantaran Romain Esse dengan satu rembatan kencang menewaskan penjaga gol Wolves, Dan Bentley.

Lima minit kemudian, penyerang yang pernah bersama Arsenal itu menyudahkan hantaran rendah Ismaila Sarr untuk gol ke-50 dalam karier profesionalnya.

Tuan rumah meneruskan asakan di babak kedua dan berjaya menambah jaringan ketiga pada minit ke-50 apabila sepakan percuma Ben Chilwell terkena kepala Agbadou dan menewaskan penjaga gol sendiri.

Wolves cuba merapatkan jurang menerusi tandukan Jorgen Strand Larsen, namun Palace kekal mendominasi perlawanan.

Pemain tengah kreatif, Eberechi Eze yang muncul wira di Wembley, masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-81 dan terus mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol keempat Palace menerusi satu larian solo dan penyudah klinikal dari sudut sukar.

Malam penuh emosi itu turut menjadi penampilan terakhir buat pertahanan veteran, Joel Ward yang menyarung lilitan kapten dalam aksi terakhirnya selepas 13 musim bersama kelab.

Kemenangan itu menyaksikan Palace kini mengutip 52 mata jumlah tertinggi pernah dicapai dalam kempen Liga Perdana Inggeris dan mereka bakal menutup musim bersejarah ini menentang juara liga, Liverpool hujung minggu ini.

“Kami semua masih teruja dengan kejayaan Piala FA. Pengurus mahu kami teruskan momentum dan tidak leka. Hari ini semua pemain beraksi dengan semangat luar biasa,” kata Nketiah.

“Kami percaya kami mampu pergi lebih jauh. Dengan sokongan peminat seperti ini, saya yakin malam-malam Eropah di Selhurst Park akan menjadi sesuatu yang luar biasa.”

Dengan kejayaan menjulang Piala FA, Palace turut mengesahkan tempat ke saingan Liga Europa musim depan penamat manis buat kelab kecil dari selatan London yang kini mula mencipta nama di pentas besar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top