firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Universiti Islam Selangor (UIS) kini berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik bagi menyambut kehadiran seramai 980 atlet dan pegawai dari seluruh negara di Malaysia yang bakal berkampung di kampus itu sempena Kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi Islam Malaysia (SUPTIM) Kali Ke-21 yang berlangsung esok hingga Selasa depan.
Buat julung kalinya, UIS diberikan kepercayaan menjadi tuan rumah kejohanan dwitahunan berprestij itu sejak ia diperkenalkan, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting universiti dalam penganjuran sukan peringkat institusi pengajian tinggi Islam.
Sebanyak lapan acara akan dipertandingkan sepanjang empat hari kejohanan iaitu bola sepak, futsal, badminton berpasukan, ping pong berpasukan, catur berpasukan, bola jaring, memanah tradisional dan bola tampar.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UIS, Dr Abdul Razif Zaini, berkata pihak universiti telah melakukan persiapan rapi sejak beberapa bulan lalu bagi memastikan kejohanan berlangsung lancar mengikut piawaian penganjuran sukan yang ditetapkan.
Menurut beliau, pengalaman UIS dalam mengendalikan pelbagai program dan kejohanan berskala besar menjadi antara kekuatan universiti untuk menjayakan SUPTIM Kali Ke-21.
“UIS komited memastikan setiap kontinjen yang hadir menikmati kemudahan terbaik sepanjang kejohanan berlangsung. Kami yakin dengan pengalaman serta kerjasama semua warga universiti, SUPTIM kali ini mampu dianjurkan dengan lancar, profesional dan menepati standard penganjuran sukan yang sebenar.
“Penganjuran ini juga menjadi platform terbaik untuk mempamerkan kemampuan UIS sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah berupaya menjadi penganjur kejohanan sukan berskala besar,” katanya ketika ditemui pada perlawanan bola sepak tiga penjuru sempena SUPTIM ke-21 yang berlangsung malam tadi.
Dalam aksi jemputan itu, pasukan Alumni UIS memenangi saingan itu selepas membenam pasukan Staf UIS dan pasukan Pelajar Tahun Akhir UIS.
Dalam perkembangan sama, bagi memastikan semua pertandingan berlangsung dalam keadaan terbaik, UIS turut melaksanakan pelbagai kerja menaik taraf infrastruktur dan fasiliti sukan di kampus, termasuk gelanggang futsal serta beberapa venue pertandingan lain.
Usaha penambahbaikan itu dilaksanakan bagi memastikan semua kemudahan berada pada tahap terbaik, selesa dan memenuhi spesifikasi pertandingan sekali gus memberikan pengalaman berkualiti kepada atlet, pegawai serta para pengunjung sepanjang kejohanan berlangsung.
Dalam pada itu, UIS turut meletakkan sasaran tinggi apabila berazam merampas semula gelaran juara keseluruhan pada edisi kali ini di laman sendiri.
Kali terakhir UIS muncul juara keseluruhan adalah pada edisi 2009 dan 2019, justeru kelebihan beraksi sebagai tuan rumah dilihat mampu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengulangi pencapaian tersebut.
Untuk rekod, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) muncul juara keseluruhan pada edisi SUPTIM 2024 yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzham Shah (UNISHAMS), Kedah.
SUPTIM Kali Ke-21 menghimpunkan penyertaan daripada 10 institusi pengajian tinggi Islam iaitu UIS selaku tuan rumah, Universiti Islam Melaka (UNIMEL), Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI), Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (UNIQSAAS) dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).
Baki empat pasukan lagi iaitu Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzham Shah (UNISHAMS), Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UNISIRAJ), Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP), Kolej Al-Quran Terengganu serta Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).
Dengan persiapan menyeluruh yang sudah dilakukan, UIS bukan sahaja bersedia menjadi tuan rumah terbaik, malah bertekad menjadikan SUPTIM Kali Ke-21 sebagai edisi yang berlangsung dengan penuh kemeriahan, semangat kesukanan dan pengurusan bertaraf tinggi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




