rizar@mediaprima.com.my
Johor Bahru : Benteng pertahanan skuad Harimau Malaya tampak lebih mantap apabila langkah ketua jurulatih, Peter Cklamovski memanggil sekurang-kurang 14 pemain pertahanan membuka ruang buat barisan itu bekerja keras bagi menempatkan diri dalam senarai terakhir nanti.
Pemain pertahanan Selangor FC, Harith Haiqal Adam Afkar juga mengakui ia langkah terbaik dalam usaha membentuk benteng yang mantap bagi menghadapi Vietnam pada kempen pusingan ketiga Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 10 Jun depan.
Jelas pemain kelahiran Klang, Selangor itu, walaupun agak bergelut untuk kembali berada di tahap kecergasan yang sebenar selepas berehat dalam tempoh tiga minggu apabila berakhirnya saingan Liga Malaysia (Liga M) tapi berbekal semangat juang yang tinggi apa juga permasalahan boleh diatasi.
“Memang susah untuk berada di tahap kecergasan terbaik tapi sebagai pemain profesional dan tahu situasi yang harus ditempuhi dan saya rasa semua pemain sudah buat persediaan sebelum menyertai kem latihan Harimau Malaya.
“Walaupun jurulatih (Cklamovski) memanggil 38 pemain untuk menjalani latihan dan kebanyakannya pemain pertahanan, ia beri ruang kepada saya dan rakan-rakan lain bersaing secara lebih kompetitif dan mempelajari taktikal permainan yang bakal dibentuk nanti.
“Apapun, fikiran saya tidak terarah untuk menempatkan diri dalam senarai terakhir 23 pemain nanti, sebaliknya tumpuan saya adalah memberi fokus kepada latihan sepanjang tempoh seminggu ini dan membuktikan sesuatu kepada barisan kejurulatihan,” katanya.
Dalam pertemuan menentang Nepal yang berkesudahan Harimau Malaya melakar kemenangan 2-0 pada aksi 25 Mac lalu, Harith Haiqal membentuk gandingan ampuh bersama Shahrul Saad di posisi pertahanan sambil dibantu Dion Cools dan Matthew Davies.
Dengan kehadiran muka baharu iaitu Shafizan Arshad dan Alif Ahmad, persaingan merebut tempat di posisi pertahanan tampak semakin menarik namun Harith Haiqal mengambilnya sebagai cabaran yang menarik dalam usaha memperkasakan lagi benteng Harimau Malaya.
Apapun, Harith Haiqal tidak menolak aksi menentang Cape Verde pada perlawanan persahabatan tier 1, 29 Mei ini penting bagi menguji persefahaman jitu dalam skuad Harimau Malaya terutama benteng pertahanan tatkala berdepan pasukan yang berada di ranking 72 dunia.
“Kita tahu Cape Verde berada di ranking yang tinggi tapi di bawah bimbingan jurulatih Peter dan barisan kejurulatihan yang berpengalaman sudah tentu kami akan mendapat pendedahan terbaik terutama aspek taktikal permainan.
“Kami akan lakukan yang terbaik dan melaksanakan apa jua perancangan yang dibuat oleh jurulatih Peter selain memperkemaskan rentak permainan bagi persiapan menentang Vietnam nanti,” ujar Harith Haiqal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




