Maguire hanya memikirkan posisi pertahanan

Maguire hanya memikirkan posisi pertahanan

Bilbao: Pemain pertahanan serba boleh, Harry Maguire, berharap dapat kekal di zon pertahanan selesa bersama Manchester United dalam final Liga Europa menentang Tottenham Khamis ini, meskipun dia pernah menunjukkan aksi menyerang sebelum ini.

Pasukan kendalian Ruben Amorim berpeluang menamatkan musim penuh cabaran dengan kejayaan di Bilbao, menentang pesaing mereka dari Liga Perdana Inggeris (EPL) yang turut menghadapi musim sukar.

Pertahanan tengah, Maguire, menjaringkan gol kemenangan dalam kebangkitan luar biasa menentang Lyon pada suku akhir Liga Europa, dengan United menang 7-6 secara agregat.

Kemudian, dia memukau di posisi sayap untuk membantu menjayakan gol pertama pada perlawanan pertama separuh akhir menentang Bilbao yang berakhir dengan keputusan agregat 7-1 selepas dua perlawanan.

Bekas kapten United itu ditanya sama ada serangannya ke posisi hadapan adalah sebahagian daripada strategi taktikal baharu yang diperkenalkan oleh Amorim.

“Pengurus latih saya menggelecek setiap hari. Sebenarnya, saya nampak peluang di sayap ketika lawan Bilbao dan berjaya menghantar hantaran lintang yang baik.

“Gol itu dijaringkan oleh Cas (Casemiro). Ada yang tanya saya sebelum ini, sudah tentu saya naik ke hadapan pada minit-minit akhir perlawanan menentang Lyon.

“Esok malam (pagi), saya harap tidak perlu naik ke hadapan. Saya tidak mahu ke depan untuk mengejar keputusan, sebaliknya mahu mempertahankan kelebihan yang ada,” katanya.

Tambahnya, dia sentiasa bersedia membantu dan memberikan yang terbaik, namun lebih gembira bermain di posisi kegemarannya.

Pemain antarabangsa England berusia 32 tahun itu bermain secara konsisten musim ini selepas melalui fasa sukar di mana dia kehilangan tempat dalam kesebelasan utama serta hilang jawatan kapten di bawah pengurus sebelum ini, Erik ten Hag.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top