am@hmetro.com.my
Kangar: Perkhidmatan pengangkutan ‘choley’ atau ‘tuk-tuk’ bermotosikal roda tiga yang terkenal di Kuala Perlis kini diperluaskan hingga ke kawasan sekitar Terminal Feri Kuala Perlis bersempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (Lima’ 25).
Langkah berkenaan adalah sebagai usaha kerajaan negeri Perlis dalam menarik kedatangan pelancong ke Langkawi dari terminal feri berkenaan untuk menggunakan ikon negeri itu bagi bersiar-siar sekitar Pekan Kuala Perlis.
Exco Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Luar Bandar negeri Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata hanya di Perlis, choley digunakan meluas terutama bagi membawa pelancong ke Kampung Warna Warni di sekitar Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis.
“Langkah ini adalah ilham Tuanku Raja Muda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang mahukan ‘choley’ dijadikan ‘trademark’ negeri ini dan kita mahu gunakan kesempatan penganjuran Lima’25 ini sebagai peluang menarik pengunjung melawat sekitar Kuala Perlis bagi menyemarakkan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.
“Untuk tujuan ini, kita akan menambah dari 30 di Kampung Warna-Warni kepada 100 di kawasan strategik seperti di Terminal Feri Kuala Perlis yang kita jangka akan mulai sesak sepanjang minggu ini,” katanya selepas melancarkan perkhidmatan ‘choley’ di Terminal Feri Kuala Perlis, di sini hari ini.
Abu Bakar berkata, pihaknya akan cuba selaraskan perkhidmatan ini mengikut jadual feri dan roro.
“Jika di Kampung Warna-Warni, kadar bayaran yang dikenakan untuk perkhidmatan ini adalah sekitar RM35 bagi satu sesi namun untuk di kawasan Pekan Kuala Perlis, laluannya lebih mudah dan mungkin caj lebih rendah sekitar RM30.
“Kita percaya bahawa khidmat ‘choley’ dapat merancakkan ekonomi tempatan serta membuka peluang pendapatan kepada anak muda yang ingin menceburi bidang ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




