zanariah_mutalib@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kabinet, hari ini, meneliti beberapa isu berhubung pelaksanaan pemberian subsidi diesel dengan menggunakan sistem sama seperti BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi pengagihan subsidi RON95.
Jurucakap Kerajaan Datuk Fahmi Fadzil berkata, semua perkara berkaitan masih dalam perbincangan dan sebarang keputusan mengenainya akan diumumkan kelak.
“Kita sedang meneliti isu berkenaan diesel, pelaksanaan (pemberian subsidi) diesel menggunakan sistem seperti Budi MADANI.
“Ini yang menjadi fokus Jemaah Menteri,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.
Bulan lalu, Fahmi memaklumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Kewangan untuk menangani segera proses penyasaran subsidi diesel dengan menggunakan mekanisme sama seperti pemberian BUDI95.
Katanya, kerajaan mula meneliti mekanisme yang terbaik untuk mengubah cara pengagihan subsidi BUDI Diesel Individu yang ketika ini dalam bentuk pindahan tunai kepada mekanisme sama yang digunakan bagi BUDI95.
Mengenai sama ada kerajaan mempertimbang untuk mentakrif semula kategori pendapatan T20, susulan kerajaan dilapor sedang menyemak semula subsidi RON95 kepada golongan berpendapatan tinggi, Fahmi berkata, perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




