Polis Selangor utamakan fakta, perlu masa sahkan sebarang kejadian, kes – Ketua Polis Selangor

Polis Selangor utamakan fakta, perlu masa sahkan sebarang kejadian, kes – Ketua Polis Selangor

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis Selangor mengutamakan pengesahan fakta dan ketepatan maklumat sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung sesuatu kejadian bagi mengelakkan penyebaran maklumat mengelirukan kepada masyarakat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pendekatan berhati-hati dan bertanggungjawab itu menyebabkan kenyataan rasmi daripada pihaknya mungkin dikeluarkan selepas sesuatu kejadian menjadi tular dalam kalangan netizen menerusi media sosial.

Beliau berkata, kelewatan berkenaan bukan disengajakan, sebaliknya adalah sebahagian daripada prosedur penting bagi memastikan setiap maklumat yang disampaikan kepada masyarakat adalah benar dan tepat.

“Pihak polis perlu memastikan fakta sesuatu kejadian disahkan terlebih dahulu, selain menentukan sama ada insiden berkenaan benar-benar berada dalam bidang kuasa Polis Selangor sebelum sebarang kenyataan dikeluarkan.

“Setiap kenyataan rasmi perlu dibuat secara bertanggungjawab dan pihak polis perlu bersedia untuk dipertanggungjawabkan terhadap maklumat yang disampaikan kepada masyarakat,” katanya dalam sesi kunjungan hormat Persatuan Wartawan Jenayah (CIJA), di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan, serta barisan kepimpinan CIJA, Safeek Affendy Razali, Maszureen Hadzman, Farik Zokkepli dan Nuraina Hanis Abd Halim.

Shazeli berkata, pengesahan fakta penting bagi mengelakkan maklumat tidak tepat, pemutarbelitan fakta serta penyebaran berita palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Ketepatan maklumat perlu diutamakan bagi memastikan orang ramai memperoleh penjelasan berdasarkan fakta yang sahih, bukannya bergantung semata-mata kepada maklumat yang tersebar di media sosial,” katanya.

Beliau berkata, Polis Selangor mahu terus menjadi sumber rujukan masyarakat bagi mendapatkan maklumat rasmi yang tepat dan boleh dipercayai berhubung sesuatu kejadian.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama serta pemahaman rakan media rasmi khususnya yang diiktiraf oleh Jabatan Penerangan dan masyarakat terhadap keperluan proses pengesahan sebelum sesuatu kenyataan rasmi dikeluarkan.

Shazeli mengulas perkara itu ketika ditanya mengenai penularan pelbagai kejadian dan kes jenayah oleh segelintir orang awam yang berada di lokasi kejadian melalui pelbagai platform media sosial.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top