norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Zul Ariffin, 39, menegaskan dia tidak mengejar anugerah, namun lebih utamakan kualiti lakonan hingga tidak kisah sekiranya dia harus ‘shoot’ satu babak banyak kali.
Zul atau nama sebenar, Zulkifli Ariffin berkata walaupun sudah lama berlakon, tetapi dia harus teliti dan sentiasa memikirkan dapat memberi lakonan terbaik kepada penonton yang menyaksikan karya-karya dibintanginya.
“Saya pernah ‘shoot’ satu babak sebanyak 60 kali, dan pulun sajalah habis-habisan masa itu agar apa diinginkan dalam lakonan terhasil. Bagi saya, biar banyak ‘angle’ kita ‘shoot’ asal nanti tiada persoalan dalam diri.
“Sebab, kita sebagai pelakon selalu bila tengok tayangan gala mesti akan bertanya pada diri, ‘kenapa aku tidak buat macam itu dan macam ini?. Jadi, saya pastikan bila kena ‘shoot’ itu, tidak kisahlah kalau kena ulang banyak kali,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, dia juga menghornati sudut pandang setiap pengarah yang bekerjasama dengannya dan atas sebab itu wajar bersikap terbuka melakukan semua bersesuaian permintaan pengarah.
Terdahulu, Zul ditemui di TGV KLCC sempena sesi tayangan bersama media untuk filem lakonannya, Pemuja Syaitan arahan pelakon, Liyana Jasmay yang pertama kali duduk di kerusi sutradara filem, dan menemui penonton di pawagam mulai esok.
Pada perkembangan lain, Zul turut ditanya mengenai namanya yang tidak dicalonkan dalam mana-mana kategori pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) yang akan berlangsung di Istana Budaya (IB) pada 21 November depan
Meskipun menampilkan lakonan cemerlang dalam filem seram, Malam Terlarang ditayangkan pawagam tahun lalu, Zul menyifatkan pencalonan dan kemenangan anugerah adalah bonus dalam kerjaya seorang pelakon.
“Pada saya, perkara lebih penting adalah memberikan persembahan terbaik serta menghasilkan karya berkualiti untuk tontonan dan hiburan masyarakat. Jadi, pencalonan dan anugerah itu kalau dapat adalah bonus.
“Jika ada pencalonan, Alhamdulillah. Bagaimanapun kalau tidak ada pun, saya okay dan tidak ada apa-apapun hingga saya perlu kecewa. Terus-terang, saya sangat bersyukur masih mendapat tawaran berlakon,” ujarnya.
Zul berkata, apapun dia amat berterima kasih kepada pihak produksi dan tenaga kerja belakang tabir yang masih sedia memberinya peluang serta mahu bekerjasama memandangkan sekarang ini ada ramai bakat baharu serta muda dalam industri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




